JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menandatangani Dekri Presiden Nombor 14/2021 sebagai pindaan kepada Dekri Presiden Nombor 99/2020 berhubung Penggunaan Vaksin dan Pandemik Covid-19.
Dekri yang ditandatangani baru-baru ini mengandungi beberapa perubahan dan antaranya termasuk memberi pampasan kepada mana-mana penduduk yang mengalami alahan teruk, kecacatan atau kematian selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.
Lapor Kompas.com, pampasan tersebut akan diberi mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.
“Bayaran pampasan akan diberi kepada penduduk yang mengalami kecacatan bahkan kematian selepas menerima suntikan vaksin.
“Pampasan itu akan diberi mengikut keperluan, sama ada untuk kecacatan mahupun kematian,” menurut dekri tersebut.
Selain itu, dekri itu juga menyebut kerajaan akan menetapkan ketentuan yang sewajarnya sekiranya ada penduduk yang memerlukan rawatan perubatan selepas menerima suntikan vaksin.
“Jika berlaku sesuatu keadaan yang memerlukan rawatan perubatan selepas menerima suntikan vaksin, kerajaan akan menanggung semua pembiayaan mengikut kadar yang ditetapkan.
“Kesemua tanggungan itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” jelas dekri tersebut.