WASHINGTON: Joe Biden buat pertama kalinya menghubungi Presiden China, Xi Jinping sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Dalam panggilan telefon tersebut, Biden menekankan mengenai sektor perdagangan antara kedua-dua negara dan tindakan China yang cuba menyekat demokrasi di Hong Kong, selain beberapa isu berkenaan hak asasi manusia.
Kedua-dua pemimpin tersebut berbual antara satu sama lain beberapa jam selepas Biden mengumumkan pelan untuk pasukan tindakan Pentagon bagi meneliti strategi keselamatan kebangsaan AS di China.
Sebelum itu, Biden juga mengumumkan beliau mengenakan beberapa sekatan terhadap rejim ketenteraan Myanmar berhubung rampasan kuasa di negara tersebut.
Menurut kenyataan White House, Biden melahirkan kebimbangan mengenai amalan ekonomi Beijing yang disifatkan ‘memaksa dan tidak adil’.
Biden turut ‘mengingatkan’ Beijing mengenai pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk etnik Uighur di Xinjiang serta tindakan provokasi terhadap Taiwan.
Pemimpin berusia 78 tahun itu juga menyatakan pendekatan yang diambilnya berbeza dengan dilakukan oleh Donald Trump yang dilihat mengutamakan isu ekonomi berbanding hal lain melibatkan hubungan China dan AS.
Reaksi Jinping
Sebagai tindak balas, Jinping menegaskan konfrontasi yang berlaku antara kedua-dua negara hanya akan menyebabkan ‘bencana lebih teruk’ dan mereka seharusnya memperbaiki keadaan itu bagi mengelakkan keadaan lebih tegang.
Jinping turut memberitahu Biden yang beliau berharap AS lebih berhati-hati menguruskan isu berkaitan Taiwan, Hong Kong dan Uighur kerana semuanya melibatkan kedaulatan negara tersebut.
Pencapaian Biden
Sebelum Jinping, Biden sudah membuat beberapa panggilan telefon dengan pemimpin lain.
Antaranya termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Dalam perbualannya dengan Modi, Biden menekankan kepentingan untuk ‘merapatkan kerjasama bagi mempromosi sikap terbuka dan bebas dalam kalangan negara Indo Pasifik’.
Panggilan telefon Biden dengan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada minggu lalu pula menumpukan usaha mengukuhkan hubungan kedua-dua negara bagi mencapai kestabilan serantau.
Dalam pada itu, Biden berjaya mendapatkan kepercayaan Jepun untuk mengukuhkan ‘penguasaan’ di Kepulauan Senkaku iaitu sekumpulan pulau yang tidak berpenghuni dan ditadbir oleh Tokyo, namun dituntut oleh Beijing.
Kecewa dengan Trump
Para pembantu utama Biden sebelum ini sudah berulang kali mendengar keluhan barisan pemimpin Asia Pasifik yang kecewa dengan tindakan Trump yang lebih mengutamakan sekutu dan ‘retorik murahan’ beliau.
Antaranya termasuk perbicangan untuk mengurangkan jumlah anggota tentera di Korea Selatan dan menjalin ‘hubungan janggal’ dengan pemimpin Korea Utara, Kim JOng-un.
Kebanyakan pemimpin di rantau Asia menegaskan mereka menginginkan pendekatan yang lebih bertujuan dan berkuasa. – AGENSI