YANGON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa Jeneral Myanmar supaya menyerahkan semula kuasa dan membebaskan pemimpin politik yang ditahan selepas tentera melakukan rampasan kuasa.
Washington mengetuai kutukan antarabangsa terhadap rampasan kuasa tersebut yang menyaksikan pemimpin demokratik termasuk Aung San Suu Kyi ditahan sekali gus menimbulkan kegusaran terhadap 54 juta rakyat Myanmar yang kembali kepada pemerintahan tentera selama berdekad-dekad sebelum ini.
“Tiada keraguan, dalam demokrasi kekerasan tidak boleh mengatasi pilihan rakyat atau cubaan menafikan keputusan pilihan raya.
“Tentera Myanmar sepatutnya menarik balik kuasa mereka, membebaskan aktivis dan pemimpin yang ditahan, menarik semula sekatan terhadap telekomunikasi dan tidak menggunakan keganasan,” kata Biden dalam ucapan sulung polisi luar negara sebagai presiden.
Biden berkata demikian selepas beberapa jam penasihat keselamatan negara, Jake Sullivan menegaskan, Rumah Putih melihat sekatan khusus yang disasarkan kepada individu dan entiti yang dikawal oleh tentera.
AS memberi amaran selepas Jeneral Myanmar melakukan sekatan terhadap akses Facebook semalam, selepas orang ramai menyuarakan ketidakpuasan hati dalam media sosial.
Bukan sahaja Facebook, Instagram dan WhatsApp juga turut disekat.
Facebook mengesahkan akses aplikasi itu mengalami gangguan bagi segelintir pengguna dan menggesa pihak berkuasa memulihkan semula capaian tersebut. -AFP