WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengadakan siri perbualan dengan rakyat biasa apabila menghubungi golongan wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
Langkah itu merupakan tindakan bagi menunjukkan komitmen secara langsungnya dengan penduduk AS.
Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki berkata, Rumah Putih akan melancarkan usaha baharu bagi memudahkan presiden dapat berkomunikasi secara langsung dengan rakyat Amerika.
Perbualan itu diadakan menerusi telefon di Pejabat Oval di Washington dengan menghubungi Michele yang merupakan seorang ibu dari Roseville, California yang kehilangan pekerjaan di sebuah syarikat kecil kerana krisis ekonomi akibat Covid-19.
“Ayah saya sering berpesan, pekerjaan ini lebih daripada sekadar gaji. Ia tentang maruah, kehormatan dan tempat anda dalam masyarakat,” kata Biden.
Menerusi siri perbualan tersebut, Biden dilihat menzahirkan perasaan simpati kepada rakyat sekali gus membezakan dirinya dengan bekas Presiden AS, Donald Trump yang dikritik kerana tidak mengambil peduli nasib jutaan penduduk Amerika yang terkesan akibat krisis ekonomi dan kesihatan.
Biden turut mengambil peluang menguar-uarkan pakej rangsangan bernilai AS$1.9 trillion (RM7.6 trillion) yang sedang disediakan oleh Parti Demokratik di Kongres walaupun tidak mendapat sokongan Parti Republik.
Panggilan telefon yang dilakukan Biden merupakan kaedah baharu yang digunakan ketika era media sosial. Pada 1930an, Presiden AS, Franklin Delano Roosevelt menggunakan saluran radio sebagai cara untuk dirinya berhubung dengan rakyat Amerika.
Sebaliknya, Trump hanya menggunakan video berbentuk rakaman awal yang disiarkan di Facebook. -AFP