BEIJING: Aksi seorang lelaki dari China yang melakukan latihan senaman unik iaitu berjalan dengan plat besi seberat 150 kilogram (kg) yang diikat pada kakinya, menarik perhatian rata-rata warganet dalam media sosial.
Lapor Oddity Central, Zhang Enshun, 42, dari Bandar Yulin di wilayah Guangxi, China menjalani latihan senaman memakai `kasut besi’ itu sejak lima bulan lalu.
Menurut Zhang, dia mahu mencuba senaman itu selepas membaca laporan berita mengenai orang ramai berjalan dengan pemberat diikat pada kaki mereka dan manfaat latihan tersebut.
Kata lelaki itu, pada mulanya, dia cuba berjalan dengan mengikat sebuah plat besi seberat 18.75kg pada setiap kakinya.
“Kini, saya mampu berjalan dengan empat plat besi diikat pada setiap kaki yang berat keseluruhannya mencecah 150kg.
“Berat kasut besi ini adalah dua kali ganda berbanding berat badan saya,” katanya.
Tambah Zhang, setiap hari dia berjalan kira-kira 200 hingga 300 meter dengan memakai kasut besi tersebut.
Katanya, ketika berjalan dengan memakai kasut besi itu, dia turut melakukan tai chi bagi melengkapkan senaman tersebut.
Dalam pada itu, Zhang mendakwa, selain menguatkan otot dan tulang kakinya, senaman berjalan menggunakan kasut besi itu mampu meningkatkan peredaran darahnya.
Bagaimanapun, beberapa pakar memberi amaran bahawa senaman seperti itu yang sudah lama diamalkan di China, juga mempunyai risiko bahaya.