JAKARTA: Seorang bekas pegawai bank di Majelengka, Jawa barat ditahan polis kerana disyaki mengedarkan duit palsu sebanyak 600 juta rupiah (RM174,333).
Lapor Kompas.com, suspek didakwa melakukan kesalahan itu di Madura dan Kalimantan.
Menurut polis, motif utama suspek adalah untuk mengaut keuntungan berlipat ganda secara cepat.
Jurucakap polis Majalengka, Siswo DC Taringan berkata, suspek sudah mula melakukan kegiatan jenayah itu sejak 2019.
“Suspek pernah berkerja sebagai pegawai kredit di sebuah bank selama tiga tahun dan sering mengedarkan duit palsu di luar daerah.
“Sejak 2019, jumlah duit palsu yang diedarkannya dianggarkan bernilai 600 juta rupiah,” katanya.
Siswo juga memaklumkan suspek sudah lama tersenarai sebagai buruan polis.
Jelasnya, suspek akan memperoleh keuntungan sebanyak 1.5 juta rupiah (RM435) bagi setiap 100 juta rupiah (RM29,055) wang palsu yang diedarkan.
Selain itu, terdapat tiga suspek lain yang turut bersubahat dengan bekas pegawai bank tersebut dengan seorang sudah ditangkap, manakala dua lagi masih bebas.
“Polis turut merampas sejumlah duit palsu termasuk dalam mata wang asing dan peralatan untuk mencetak kepingan duit ketika operasi menahan suspek.
“Kesemua suspek berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun jika disabit kesalahan,” ujar Siswo.