AS turut berdepan cabaran sekolah di rumah - Utusan Malaysia

AS turut berdepan cabaran sekolah di rumah

KEBANYAKAN ibu bapa di Amerika Syarikat (AS) beralih arah kepada kaedah bersekolah di rumah atau dikenali sebagai homeschool. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia menjejaskan pelbagai sektor termasuk bidang pendidikan yang terkena tempiasnya. 

Disebabkan wabak yang masih melanda itu, kebanyakan sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup bagi mengelakkan jangkitan virus terus merebak dalam kalangan murid dan guru. 

Dek kerana itu, kebanyakan ibu bapa di Amerika Syarikat (AS) beralih arah kepada kaedah bersekolah di rumah atau dikenali sebagai homeschool. 

Buktinya, seramai 10 juta kanak-kanak menjalani sesi pembelajaran di rumah tahun lalu yang menyaksikan peningkatan daripada empat ke lima juta orang pada 2019. 

Hampir 51 juta murid daripada tadika hingga gred 12 yang sepatutnya menghadiri sesi persekolahan selepas musim panas tahun lalu, terpaksa menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian. 

Berdasarkan rekod Persatuan Kebangsaan Home School (NHSA) di Colorado, kaedah bersekolah di rumah menjadi fenomena selepas serangan pandemik pada Mac tahun lalu yang menyebabkan penutupan sekolah. 

Seorang ibu, Catherine Strokes berkata, dia mengambil inisiatif sendiri mengajar anaknya di rumah. 

“Saya buat sesi pembelajaran, saya yang melaksanakannya, dan kemudian lakukan lagi minggu depan,” katanya. 

Bagi pekerja sambilan, Strokes, 37, dia membuat keputusan pada Julai tahun lalu apabila sekolah di Fredericksburg, Virginia masih belum membuat keputusan bagaimana sesi persekolahan akan berlangsung pada bulan berikutnya. 

Katanya, disebabkan ketidaktentuan itu dia memilih kaedah bersekolah di rumah buat anaknya. 

“Seperti orang lain yang bekerja sambilan, saya perlu tahu hari apakah anak-anak saya akan ke sekolah. Namun, mereka kerap membatalkannya pada saat-saat akhir, memanjangkan tempoh cuti atau sesi pengajaran secara dalam talian yang menyebabkan ketidakstabilan buat saya dan anak,” katanya. 

Presiden Tenaga Pengajar Home School Virginia, Andrea Cubelo-McKay berkata, kebanyakan ibu bapa tidak mahu anak mereka menghabiskan masa di hadapan skrin komputer kerana tidak bagus untuk kesihatan serta kesukaran untuk memantau kelas dalam talian.   

Malah, beberapa komuniti agama turut mengajar anak mereka di rumah. 

Sementara itu, presiden NHSA, J. Allen Weston berkata, perubahan itu akan menjadi cabaran bagi anak-anak berbanding sekolah seperti biasa. 

Jelasnya, terdapat perbezaan besar antara pengajaran di rumah dan sesi dalam talian. 

Bahkan, ia adalah sukar bagi ibu bapa yang perlu bekerja dan memainkan peranan sebagai guru yang kurang berpengalaman. 

“Setiap hari adalah berbeza dan mencabar. Ada yang berjalan lancar, sementara yang lain mungkin tidak dapat kerjasama baik serta beberapa subjek lebih sukar untuk diajar berbanding lain,” jelasnya.  – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya