WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggesa tentera Myanmar membebaskan Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik serta mengecam tindakan rampasan kuasa.
Suu Kyi yang merupakan Kaunselor Negara termasuk Presiden Myanmar ditahan selepas pertikaian keputusan pilihan raya negara ini terus memuncak.
Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki menerusi kenyataan berkata, AS menentang sebarang percubaan untuk mengubah keputusan pilihan raya atau menghalang peralihan demokratik Myanmar dan akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya langkah itu tidak dihentikan.
“Kami menggesa pihak tentera dan semua pihak mematuhi norma demokratik dan peraturan perundangan. Bebaskan tahanan hari ini juga,” tegasnya.
Rumah Putih berkata, pihaknya sudah memaklumkan Presiden AS, Joe Biden mengenai penangkapan Suu Kyi, sementara Kedutaan AS di Yangon mengeluarkan amaran bahaya kepada penduduk AS mengenai kemungkinan berlaku pergolakan politik.
Setiausaha Negara AS yang baru dilantik, Anthony Blinken turut menggesa tentera Myanmar membebaskan semua pemimpin politik dan pegawai kerajaan serta menghormati pilihan rakyat yang sudah diterjemahkan dalam pilihan raya pada 8 November lalu.
“AS berdiri teguh bersama rakyat Burma yang mahukan demokrasi, keamanan, kebebasan dan pembangunan. Tentera mesti mengundurkan tindakan ini segera,” katanya.
Suu Kyi yang juga Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan Win Myint serta beberapa pemimpin kanan NLD ditahan tentera di Naypyidaw, pagi tadi.
Penahanan itu dibuat seminggu selepas Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu, sekali gus menangani krisis politik itu.
Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan NLD pimpinan Suu Kyi menang besar. -AGENSI