JAKARTA: Juruterbang pesawat Sriwijaya Air, Kapten Afwan dikenali sebagai individu yang kuat beribadah sehingga kelibat dan keletahnya dirindui semua staf syarikat penerbangan itu.
Tribunnews melaporkan, pemergiannya dirasakan oleh pramugari pesawat itu, Naning yang menyifatkan arwah seorang yang baik dan sering mengingatkan tentang solat.
“Arwah adalah orang yang baik, dia selalu mengingatkan jangan lupa solat. Semoga keluarga arwah diberikan ketabahan,” katanya.
Jenazah Afwan dikebumikan di Taman Makam Bahagia, Pondok Rajeng, Bogor, Sabtu lalu.
Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air yang mengorbankan 62 kru dan penumpang termasuk 10 kanak-kanak dipercayai terhempas pada ketinggian kira-kira 3,000 meter dalam masa kurang seminit sebelum menjunam ke Laut Jawa sejurus berlepas dari Jakarta.
Seramai 58 identiti mangsa sudah dikenal pasti dan hanya berbaki empat mangsa sahaja belum disahkan.
Arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik lahir pada 26 Februari 1966 meninggalkan isteri, Pipit Rachimawati, 35, dan tiga anak perempuan berusia enam hingga 14 tahun.
Sementara itu, ahli keluarga arwah, Sjafzan Badar berkata, semasa hidup kapten itu sering menjadi imam di Masjid Ad-Daulah.
“Arwah sering menyampaikan dakwah dan nasihat kepada anak serta anak saudaranya. Kami kehilangan individu yang menjadi kebanggaan,” katanya.