YANGON: Perkara pertama yang perlu diketahui tentang tentera Myanmar atau secara rasminya dikenali sebagai Tatmadaw adalah mereka tidak pernah menyerahkan kuasa politik.
Sedekad lalu, ketua tentera itu merancang untuk membenarkan negara mengadakan pilihan raya, meliberalisasikan ekonomi dan beralih ke semi demokrasi dengan mengekalkan penguasaan.
Perlembagaan 2008 menempatkan tentera sebanyak suku kerusi di Parlimen, memberikan kuasa veto berhubung perubahan perlembagaan dan jeneral tetap mengawal tiga kementerian utama iaitu pertahanan, sempadan dan dalam negeri.
Selama 50 tahun, tentera merupakan institusi paling berkuasa di Myanmar. Mereka mengawal kerajaan, ekonomi, dan setiap aspek kehidupan.
Pemerintahan tentera masih meneruskan konflik dengan etnik minoriti sehingga menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, dan kumpulan hak asasi mengaitkan tentera dengan kekejaman seperti rogol, penyeksaan dan jenayah perang lain.
Tentera diktator mengubah Myanmar menjadi sebuah negara yang sangat mengaibkan. Jeneral Ne Win yang merampas kuasa pada 1962, menjadikan negara itu terus miskin dengan malapetaka ekonomi dan polisi sosialis.
Ne Win didakwa membuat keputusan polisi berdasarkan nasihat ‘ahli nujum’ dengan memperkenalkan beberapa jenis mata wang besar Myanmar dan menggantikan wang kertas yang bertambah kepada sembilan jenis. Simpanan orang ramai juga ‘dilupuskan’.
Penganiayaan politik, gangguan dan kekejaman terhadap pembangkang, wartawan dan kumpulan minoriti berlanjutan selama beberapa tahun di bawah pemerintahan ketua tentera dan kerajaan.
Min Aung Hlaing yang dipilih sebagai ketua tentera semasa peralihan Myanmar sebagai negara demokrasi bermula pada 2011 dan di bawah rejimnya, seramai 720,000 penduduk melarikan diri ke Bangladesh susulan tindakan ketenteraan pada 2016 dan 2017.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan itu dilancarkan dengan niat ‘menghapuskan etnik Rohingya’.
Namun, junta tentera dan kerajaan negara ini menafikan dakwaan itu dengan alasan kononnya serangan dilakukan untuk membanteras kumpulan pengganas.
Pada 2019, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ketat terhadap Aung Hlaing selepas beliau didakwa mencabul hak asasi manusia dengan melakukan kekejaman terhadap etnik Rohingya.
TAKTIK LICIK AUNG HLAING
Penganalisis menyifatkan hubungan Aung Hlaing dan Aung San Suu Kyi sangat teruk sejak parti pimpinan pejuang demokrasi itu, iaitu Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) mengambil alih pentadbiran pada 2015,
Hubungan kedua-duanya dilaporkan semakin keruh sehingga menyebabkan ‘gangguan komunikasi’ antara NLD dan tentera Myanmar.
Suu Kyi dikatakan popular kerana berjuang selama berdekad-dekad menentang pemerintahan tentera.
Namun, tidak seperti kedudukannya di Barat, popularitinya hanya bertahan bagi penggal pertama.
Kegagalan Suu Kyi mengutuk krisis Rohingnya menyebabkan reputasinya di pentas dunia jatuh menjunam. Namun, disebabkan penampilannya mempertahankan negara dan tentera daripada tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyebabkan sokongan meningkat semasa pilihan raya.
Tentera merangka perlembagaan yang direka untuk mengekang kuasa Suu Kyi dengan klausa melarang mana-mana individu yang mempunyai ahli keluarga warga asing menjadi presiden. Disebabkan Suu Kyi berkahwin dengan lelaki British, beliau dihalang daripada menjawat jawatan penting itu.
Aung Hlaing dijangka bersara daripada jawatannya ketika mencecah 65 tahun pada Jun ini, namun, pakar sudah menjangka dia sudah menetapkan hala tuju sebagai Presiden Myanmar. – AGENSI