KABUL: Sekurang-kurangnya 100 tangki minyak dan gas musnah dalam kebakaran di kawasan sempadan Afghanistan dan Iran, sekali gus menyebabkan kerugian jutaan dolar.
Kebakaran itu berlaku tengah hari semalam di pelabuhan Islam Qala, kira-kira 120 kilometer dari bandar Herat dan satu siasatan dilancarkan bagi mengenal pasti punca insiden tersebut.
Jurucakap Gabenor Herat, Jailani Farhad berkata, pihaknya dimaklumkan 100 hingga 200 tangki musnah dan angka itu dikhuatiri meningkat.
“Kira-kira 20 orang turut cedera dalam insiden tersebut dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Beberapa video yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan api marak dan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara dan kawasan pelabuhan tersebut.
Kementerian Kewangan Afghanistan memaklumkan hasil siasatan awal mendapati kebakaran bermula di sebuah tangki sebelum merebak dengan cepat. – AFP