GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara berpendapatan tinggi menghentikan segera perjanjian dua hala dengan pengeluar vaksin Covid-19.
Amaran itu diberikan oleh Pengarah WHO, Jeneral Tedros Adhanom Ghebreyesus kerana mengakibatkan masalah kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana yang masih belum menerima bekalan vaksin tersebut.
“Negara kaya mempunyai bekalan yang banyak. Tiada negara yang patut terkecuali dan memotong giliran semata-mata menginginkan penduduk mereka divaksinkan sedangkan dalam masa sama masih ada negara yang belum menerima bekalan vaksin,” katanya semasa taklimat berita vaksin kebangsaan di Geneva, pada Jumaat.
Beliau malah meminta negara yang menempah dos berlebihan agar segera menyerahkannya kepada kemudahan perkongsian vaksin COVAX.
Tedros tidak menyebut negara mana yang melakukan perjanjian itu, namun, Kesatuan Eropah (EU) berkata, pihaknya sudah berunding dengan Pfizer dan BioNTech bagi tambahan 300 juta dos program vaksin Covid-19 yang akan memberikan EU hampir separuh daripada output global firma bagi 2021.
Perebutan suntikan vaksin dipercepatkan ketika beberapa negara berdepan dengan lebih banyak varian baharu berjangkit yang dikenal pasti di Britain dan Afrika Selatan yang mengancam akan membanjiri sistem penjagaan kesihatan.
Ketua Kecemasan, Mike Ryan mengulangi komen Tedros dan menegaskan keperluan memberikan dos kepada golongan berisiko serta petugas kesihatan tidak kira di mana mereka tinggal.
“Adakah kita akan membenarkan golongan berisiko itu ditimpa sakit dan mati akibat virus tersebut?” soalnya.
WHO malah menggesa pembekal vaksin membekalkan data semasa bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
Awal minggu lalu, WHO berkata, fasiliti COVAX meningkat AS$6 bilion (RM24 bilion) berbanding AS$7 bilion (RM28 bilion) yang dicari pada tahun ini untuk membantu membiayai pengiriman kepada 92 negara membangun dengan cara yang terbatas atau membeli vaksin sendiri. -REUTERS