WASHINGTON: Kebanyakan organisasi media Amerika Syarikat (AS) mula mengorak langkah mengikut jejak Presiden Joe Biden yang mengamalkan kesamarataan dalam barisan Kabinetnya.
Perkara itu dapat dilihat apabila enam rangkaian berita utama menugaskan wartawan wanita untuk mengetuai liputan di White House.
Sejak majlis angkat sumpah Biden pada minggu lalu, CNN, ABC, CBS, NBC, Washington Post dan stesen penyiaran awam, PBS menugaskan ketua pengarang wanita untuk membuat liputan di White House.
Senarai itu juga melibatkan sejumlah wartawan wanita berkulit hitam termasuk penyampai PBS, Yamiche Alcindor dan pemberita NBC, Kristen Welker yang menjadi wanita kulit hitam pertama sebagai moderator debat pilihan raya presiden pada Oktober tahun lalu.
“Adalah jelas dan penting untuk menyampaikan kisah mengenai kepelbagaian jantina dan bangsa dengan cara yang adil dan paling tepat,” kata Alcindor kepada CNN.
Penganalisis politik AS, Keli Goff memberitahu kepada The Observer, adalah menjadi satu keperluan untuk semua institusi menunjukkan kepelbagaian kaum dan bilik berita boleh menjadi ‘wakil kesamarataan’ untuk ditunjuk kepada masyarakat.
“Peningkatan pelbagai jantina dan bangsa dalam bidang kewartawanan, terutamanya yang membuat liputan di White House perlu diteruskan supaya penyampaian berita tidak dilihat bersifat perkauman dan berat sebelah,” ujar Goff.
Situasi baharu itu secara tidak langsung menunjukkan perubahan dalam kumpulan media White House yang sebelum ini didominasi pemberita lelaki.
Sebagai contoh, Helen Thomas pernah berkhidmat sebagai wartawan White House mewakili agensi berita UPI dan AS selama 10 pentadbiran sebelum bersara ketika usia 89 tahun pada 2010.
Selain itu, Biden juga menjadi antara presiden AS pertama yang mengetengahkan golongan wanita dalam barisan pentadbirannya termasuk setiausaha akhbarnya, Jen Psaki.
Bagi media, menugaskan lebih banyak wartawan wanita membuat liputan di White House dilihat sebagai satu langkah yang penting.
Hal ini kerana, kajian yang dilakukan oleh firma komunikasi Edelmen menunjukkan kepercayaan masyarakat terhadap media tradisional hanya direkodkan sebanyak 53 peratus dan lapan mata peratusan menurun secara global sejak 2019.
Kepercayaan terhadap media sosial pula dicatatkan sebanyak 35 peratus dan menurun dari 43 peratus bagi tempoh yang sama.
“Tanpa sumber berita yang boleh dipercayai, masyarakat tidak akan dapat memperoleh maklumat yang sahih,” jelas firma tersebut.
Edelmen menyatakan ‘usaha untuk meningkatkan kadar kepercayaan masyarakat terhadap media’ kini terletak pada bahu wartawan wanita.
“Sejak sekian lama, menjadi satu-satunya wanita yang membuat liputan berita dilihat sebagai satu ‘keajaiban’.
“Hari itu akan tiba (wanita diberi peluang tampil ke hadapan) dalam membuat liputan berita dan semua pihak akan menyedari keadaan itu,” kata bekas koresponden White House untuk ABC News, Ann Compton. – AGENSI