BANGKOK: Seorang bekas penjawat awam dikenakan hukuman penjara selama 43 tahun dan enam bulan kerana menghina keluarga diraja Thailand.
Hukuman itu dianggap paling berat yang pernah dikenakan di bawah penguatkuasaan undang-undang lese majeste negara tersebut.
Lapor The Guardian, berdasarkan kumpulan Peguam Hak Asasi Manusia Thailand, wanita itu yang berusia dalam lingkungan 60an, didakwa memuat naik klip audio dalam Facebook dan YouTube dengan beberapa komen dianggap kritikal terhadap keluarga diraja.
Pada awalnya, hukuman penjara selama 87 tahun diumumkan, namun, dikurangkan separuh kerana bekas penjawat awam itu mengaku bersalah di Mahkamah Jenayah Bangkok.
Di bawah undang-undang lese majeste Thailand Artikel 112, mana-mana individu yang didapati memfitnah, menghina atau mengancam raja, ratu, pewaris boleh berdepan dengan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
Wanita itu yang dikenali sebagai Anchan didapati bersalah atas 29 pertuduhan melanggar undang-undang tersebut.
Kes Anchan bermula sejak enam tahun lalu, namun, keputusan itu dikeluarkan ketika pihak berkuasa Thailand berusaha mengekang gerakan prodemokrasi yang mencabar sistem monarki dan kerajaan.
Anchan pada awalnya ditahan di penjara dari tahun 2015 hingga 2018 dan menolak semua tuduhan dikenakan terhadapnya ketika kesnya pertama kali didengar di mahkamah tentera.
Anchan memberitahu media tempatan, dia mengaku bersalah apabila kesnya dipindahkan ke mahkamah jenayah dengan harapan akan diberi kelonggaran memandangkan dia hanya berkongsi audio dan tidak memuat naik sebarang komen mahupun mengulas mengenai perkara itu.
“Saya ingatkan ia bukan sesuatu yang salah. Ramai orang juga yang berkongsi kandungan dan mendengarnya.
“Jadi, saya tidak memikirkannya. Saya terlalu yakin dan tidak begitu berwaspada untuk menyedari ketika itu ia tidak sesuai,” katanya.