Vaksin Covid-19 jadi tajuk khutbah Jumaat - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19 jadi tajuk khutbah Jumaat

PENGANUT Islam memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial ketika mengerjakan solat Jumaat di Masjid Baitul Futuh di barat daya London, baru-baru ini. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Imam di seluruh Britain mengambil pendekatan menggunakan khutbah Jumaat dan pengaruh mereka dalam komuniti Islam bagi menangani maklumat tidak tepat dan menjelaskan vaksin Covid-19 adalah selamat untuk digunakan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Masjid dan Imam Kebangsaan (MINAB) Qari Asim yang mengetuai usaha tersebut, antara lain menyokong program vaksinasi Covid-19 yang selari dengan amalan Islam.     

“Kami yakin bahawa dua vaksin yang digunakan di United Kingdom (UK) iaitu AstraZeneca-Oxford dan Pfizer dibenarkan dari segi perspektif Islam.

“Keraguan, kerisauan dan kebimbangan yang timbul adalah disebabkan salah faham, konspirasi, teori, berita palsu dan khabar angin,” katanya kepada AFP.

Britain yang merupakan negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 di Eropah selepas merekodkan kira-kira 95,000 kes kematian, kini bergantung kepada kempen vaksinasi terbesar untuk menamatkan sekatan dan perintah berkurung yang sudah dilaksanakan beberapa kali.

Bagaimanapun, satu laporan dari jawatankuasa saintifik yang bertanggungjawab menasihati kerajaan menunjukkan terdapat ketidakpercayaan yang tinggi dalam kalangan etnik minoriti berbanding populasi lain di UK.  

Laporan itu menunjukkan sebanyak 72 peratus responden mungkin tidak akan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Golongan imam sedang berusaha untuk memulihkan keyakinan kira-kira 2.8 juta penduduk Islam di UK mengenai keselamatan vaksin Covid-19 selepas dakwaan kononnya mengandungi gelatin babi atau alkohol yang dilarang oleh agama Islam.

Menurut Qari, tidak salah untuk mempersoalkan beberapa perkara yang dibenarkan di bawah Islam tetapi tanpa memberi perhatian kepada dakwaan tidak berasas.

Antara berita palsu yang disebarkan mengenai vaksin Covid-19 adalah ia boleh mengubah asid deoksiribonukleik (DNA) atau melibatkan proses memasukkan mikrocip dalam badan.

Dalam pada itu, sebuah pusat vaksinisasi telah didirikan di sebuah masjid di Birmingham yang merupakan bandar kedua terbesar di Britain dan mempunyai ramai penduduk dari Asia Selatan.

Imam Nuru Mohammed berkata, usaha itu secara tidak langsung memberi mesej jelas kepada kira-kira 2,000 umat Islam untuk menolak berita palsu.

Sementara itu, Qari menyifatkan usaha itu juga akan membantu menangani dakwaan kumpulan sayap kanan.

“Sekiranya pengambilan vaksin dalam komuniti Islam lebih rendah dibandingkan dengan masyarakat lain, maka ia berpotensi untuk menyemarakkan lagi sentimen Islamofobia.  

“Dalam pandemik ini, tiada sesiapa harus dijadikan sebagai kambing hitam,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya