WASHINGTON: Twitter pada Jumaat memaklumkan menyekat akaun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi mengelakkan risiko hasutan terhadap keganasan selepas penyokongnya melakukan rusuhan di bangunan Capitol.
Twitter turut mengesahkan kali pertama pihaknya memadam akaun pemimpin negara.
Akaun Twitter rasmi Trump memiliki lebih 88.5 juta pengikut sebelum digantung sepenuhnya.
“Selepas membuat penelitian terhadap ciapan yang dimuat naik baru-baru ini daripada akaun @realDonaldTrump, kami menggantung akaun buat selama-lamanya kerana risiko berlaku hasutan keganasan.
“Dalam konteks kejadian yang kacau-bilau minggu ini, kami menjelaskan pada hari Rabu pelanggaran tambahan terhadap Peraturan Twitter berpotensi mengakibatkan tindakan ini,” katanya.
Twitter menyekat akaun Trump awal minggu ini, susulan rusuhan di bangunan Capitol pada Rabu oleh penyokongnya dan memberi amaran pelanggaran tambahan terhadap akaun Presiden AS itu akan mengakibatkan penggantungan kekal.
Syarikat media sosial itu memadam akaun Trump berikutan pergolakan tersebut dan Facebook menjelaskan pihaknya akan menagguhkan akaunnya sehingga sekurang-kurangnya penggal presidennya berakhir.
Presiden Parti Republikan itu dijadualkan menyerahkan jawatan kepada Presiden Parti Demokrat pada 20 Januari depan.
Rumah Putih masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu. -REUTERS