Turki berdepan krisis air - Utusan Malaysia

Turki berdepan krisis air

KEADAAN Dikilitas Pond di wilayah Golbasi, Ankara di Turki selepas dilanda kemarau pada Julai tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Bandar-bandar besar di seluruh Turki dilaporkan bakal menghadapi krisis air dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Perkara itu secara tidak langsung mencetuskan tanda amaran bahawa Turki hanya mempunyai kapasiti air untuk tempoh kurang dari 45 hari lagi.

Menurut Persatuan Jurutera Kimia Turki, taburan hujan yang berkurangan menyebabkan kemarau paling teruk berlaku dalam tempoh sedekad lalu.

Malah, perkara itu juga telah meletakkan bandar mega yang mempunyai populasi kira-kira 17 juta penduduk berdepan krisis air.

Awal bulan ini, Datuk Bandar Ankara, Mansur Yavas menegaskan ibu negara ini hanya mempunyai empangan dan takungan air untuk menampung kegunaan bagi tempoh 110 hari sahaja.

Bandar terbesar Turki iaitu Izmir dan Bursa juga bergelut dengan krisis tersebut dengan empangan masing-masing hanya dipenuhi air sekitar 36 peratus dan 24 peratus.  

Petani di kawasan ladang gandum seperti di Konya Plain dan wilayah Edirne terletak di sempadan dengan Greece dan Bulgaria memberi amaran mengenai masalah kegagalan tanaman.

Kadar taburan hujan yang sangat rendah pada separuh kedua tahun lalu menyebabkan jabatan hal ehwal agama mengarahkan imam dan jemaah mengadakan solat hajat bagi memohon hujan.   

Turki lebih dikenali sebagai negara krisis air dengan hanya memiliki 1,346 meter padu air per kapita setahun, pernah mengalami beberapa kemarau sejak 1980-an disebabkan populasi penduduk, perindustrian, pembangunan bandar dan perubahan iklim.

“Di sebalik memberi tumpuan terhadap beberapa langkah untuk memastikan permintaan air terkawal, Turki bertegas memperluaskan bekalan sumber itu dengan membina lebih banyak empangan.

“Turki sudah membina beratus-ratus empangan dalam tempoh dua dekad terakhir ini. 

“Tanda amaran sudah ada sejak beberapa dekad lalu tetapi tidak banyak yang dilakukan oleh mereka,” kata seorang pakar pengurusan air di Pusat Dasar Istanbul, Dr. Akgun Ilhan.

Turki sudah lama lebih menekankan pertumbuhan ekonomi negara berbanding isu alam sekitar malah menjadi satu-satunya negara anggota kumpulan 20 (G20) selain Amerika Syarikat (AS) belum meratifikasi Perjanjian Paris 2015.

“Semua orang sedar bahawa tadahan air perlu dipelihara terutamanya ketika musim kemarau yang menjadi semakin teruk dalam jangka masa panjang.

“Namun di Istanbul, misalnya, kawasan tadahan air yang paling penting di hutan dan tanah pertanian dibuka untuk projek pembangunan bandar antaranya lapangan terbang baharu, jambatan Bosphorus baharu, jalan raya dan lebuh raya serta projek terusan di ibu negara itu.

“Semua dasar ini tidak mampu menyelesaikan masalah kemarau Turki,” kata Dr. Umit Sahin dari Universiti Sabanci di Istanbul.  – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya