WASHINGTON: Bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger mengutuk Donald Trump akan diingati sebagai presiden terburuk dalam sejarah politik Amerika Syarikat (AS).
Justeru, pelakon terkenal Hollywood itu menggesa semua rakyat AS untuk memberi sokongan yang tidak terbahagi kepada presiden yang dipilih, Joe Biden.
“Kita perlu pulih, secara bersama-sama daripada kejadian yang berlaku baru-baru ini.
“Kita harus berbuat demikian bukan sebagai penyokong Republikan mahupun Demokrat tetapi sebagai rakyat AS,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Twitter.
Pelakon watak utama filem Terminator itu menerusi video itu mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya di Austria semasa Perang Dunia Kedua yang memberi amaran mengenai ancaman yang ditimbulkan akibat pembohongan berulang dan sikap tidak bertoleransi.
Schwarzenegger turut membandingkan kejadian rusuhan penyokong Trump di bangunan Capitol pada Rabu lalu dengan insiden Kristallnacht atau dikenali sebagai ‘The Night of Broken Glass’, serangan keganasan yang dilakukan oleh rejim Nazi terhadap penduduk Yahudi, rumah ibadat dan perniagaan di Jerman dan Austria pada 1938.
“Rabu lalu merupakan hari yang kaca tingkap di bangunan Capitol musnah dalam rusuhan tersebut. Penunjuk perasaan juga telah menghancurkan idea dan prinsip yang didukung oleh negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Schwarzenegger turut menyelar tindakan Trump yang masih enggan menerima kekalahan pemilihan presiden dan berulang kali membuat dakwaan berlaku penipuan.
“Presiden Trump berusaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya yang diadakan secara adil.
“Beliau cuba membuat rampasan kuasa dengan mengelirukan rakyat menerusi penipuannya.
“Trump merupakan pemimpin yang gagal, beliau akan diingati sebagai presiden AS terburuk yang pernah ada selama ini,” katanya. – AGENSI