JAKARTA: Indeks Trafik Tom Tom secara rasmi mengeluarkan senarai bandar yang mempunyai kesesakan lalu lintas paling tinggi di dunia bagi tahun 2020.
Lapor Kompas.com, kaji selidik itu dilakukan di 416 bandar dari 57 buah negara dan enam benua.
Berdasarkan data yang diperoleh, Jakarta buat pertama kali tidak tersenarai sebagai 10 bandar dengan kesesakan trafik paling tinggi di dunia.
Indeks berkenaan menunjukkan Jakarta mempunyai tahap kesesakan lalu lintas sebanyak 36 peratus dan angka tersebut turun dari 2019.
Dalam senarai terbaharu, Jakarta berada di tangga ke-31.
Pada 2019, Jakarta berada pada kedudukan ke-10 manakala 2018, di tempat ketujuh.
Bagi tahun 2020, Moscow, Rusia menjadi bandar dengan kesesakan trafik paling tinggi di dunia dengan 54 peratus, diikuti Mumbai, India kedua (53 peratus) dan Bogota, Colombia (ketiga, 53 peratus).
Manila, Filipina (keempat, 53 peratus) dan Istanbul, Turki (kelima, 51 peratus).
Bengaluru, India pula menjadi bandar keenam trafik lalu lintas paling sesak di dunia dengan 51 peratus, Kyiv, Ukraine (ketujuh, 51 peratus), New Delhi, India (kelapan, 47 peratus), Novosibirsk, Rusia (kesembilan, 45 peratus dan Bangkok, Thailand (ke-10, 44 peratus).