CAPE TOWN: Tentera Afrika Selatan meminda polisi pemakaiannya bagi membenarkan anggota tentera wanita bergama Islam memakai hijab sebagai sebahagian daripada uniform mereka.
Pada Januari tahun lalu, mahkamah tentera menggugurkan pendakwaan terhadap seorang anggota tehtera wanita yang dituduh melanggar polisi pemakaian uniform tentera kerana memakai hijab.
Mahkamah tentera di Castle of Good Hope berhampiran Cape Town menarik balik semua pendakwaan yang dikenakan terhadap Mejar Fatima Isaacs membolehkan wanita itu serta anggota tentera beragama Islam lain memakai hijab ketika mengenakan uniform.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap tentera Afrika Selatan, Mafi Mgobozi.
“Peraturan serta polisi pemakaian anggota tentera wanita sudah dipinda bagi membolehkan mereka yang beragama Islam memakai hijab bersama uniform,” katanya.
Keputusan itu disambut baik oleh firma guaman Legal Resources Centre yang sebelum ini mewakili Fatima. – AFP