SURABAYA: Sudah tiga hari pengusaha tempe dan tauhu mogok menghasilkan makanan itu sehingga mengakibatkan golongan peniaga makanan bergoreng tidak dapat menyediakan menu tersebut.
Lapor Detik News, nasib itu dialami oleh peniaga di Jalan Tenggilis, Aris yang mengeluh tidak dapat menyediakan olahan tempe kerana bahan asasnya tidak tersedia di pasaran.
“Tiada yang jual tempe di pasar. Ramai yang cari tempe goreng, tetapi tidak ada, kami tidak boleh berbuat apa-apa,” luahnya.
Menurut Aris, sebelum tempe tidak dijual dan dibekalkan, harganya juga melambung tinggi sehingga sebiji tempe dijual di pasaran berharga 9,000 rupiah (RM2.60) berbanding 7,000 rupiah (RM2) sebelum ini.
Nasib sama turut dialami peniaga makanan bergoreng, Wendi di Jalan Ambengan sehingga menjejaskan pendapatannya akibat ketiadaan makanan itu di pasaran.
“Tempe merupakan makanan kesukaan kerana ramai orang mencarinya.
“Sekiranya tiada makanan bergoreng dijual, orang ramai tidak akan membeli. Malah, ia bagus dimakan ketika masih panas lebih-lebih lagi ketika hujan,” katanya.
Selain tauhu dan tempe, cili juga dikatakan susah hendak didapati di pasaran.