COLOMBO: Kerajaan Sri lanka hari ini menegaskan pendirian untuk membakar semua jenazah penduduk beragama Islam yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.
Keputusan itu sekali gus menolak permohonan komuniti antarabangsa untuk membenarkan jenazah mangsa Covid-19 dikebumikan secara ditanam.
Kerajaan negara ini mengharamkan prosedur pengebumian mangsa Covid-19 sejak April lalu dan keputusan itu menimbulkan pelbagai kebimbangan dari banyak pihak.
Langkah itu dibuat selepas ‘terpengaruh’ dengan teori kumpulan sami Buddha yang mendakwa sumber air bawah tanah boleh dicemari virus Covid-19, sekali gus menyebarkan jangkitan sekiranya mangsa koronavirus dikebumikan.
Kumpulan pakar menyifatkan keputusan kerajaan Sri Lanka itu sebagai tidak berasas, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pencemaran air dan tanah tidak akan berlaku menerusi pengebumian mangsa Covid-19.
Menteri Kesihatan Sri Lanka, Pavithra Wanniarachchi berkata, keputusan kerajaan itu tidak akan berubah demi sosial, agama, politik mahupun kepentingan peribadi. – AFP