LONDON: Satu kajian mendapati jumlah spesies lebah liar mengalami penurunan sebanyak satu perempat sejak tahun 1990.
Berdasarkan kajian global mengenai penurunan spesies lebah liar, jumlah itu direkodkan oleh sebuah pangkalan data antarabangsa berkaitan kehidupan di bumi.
Lapor The Guardian, penyelidik mengkaji data diperoleh daripada beberapa muzium, universiti dan saintis yang dikumpulkan menerusi Kemudahan Maklumat Biodiversiti Global (GBIF), sebuah rangkaian antarabangsa dibiayai kerajaan yang menyediakan data akses terbuka mengenai bidang tersebut.
Para penyelidik mendapati spesies lebah merekodkan kemerosotan mendadak sejak 1990, dengan penurunan kira-kira 25 peratus dilaporkan antara 2006 dan 2015 berbanding sebelum 1990-an.
Meskipun ia tidak bermakna serangga itu diancam kepupusan, perkara ini mungkin menunjukkan beberapa spesies menjadi jarang ditemui sehingga tidak lagi kelihatan di bumi.
“Menerusi penyertaan orang ramai dalam projek saintifik dan keupayaan untuk berkongsi data, rekod menunjukkan semakin meningkat tetapi jumlah spesies yang dilaporkan dalam rekod ini menurun.
“Ini belum menjadi kepupusan teruk tetapi apa yang kita dapat katakan adalah lebah liar tidak semakin berkembang,” kata Eduardo Zattara, pengarang kertas kajian yang juga ahli biologi dari Universidad Nacional del Comahue dan Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknikal Argentina (Conicet).
Kajian terbaharu itu yang disiarkan di jurnal Earth One, meneliti rekod data selama tiga abad yang merangkumi lebih 20,000 spesies lebah di seluruh dunia.
Kajian tersebut juga mendapati penurunan itu tidak sekata dalam seluruh spesies lebah berkenaan.
Walaupun rekod menunjukkan lebah Halictid menurun sebanyak 17 peratus sejak 1990-an, bagi spesies Melittidae pula merosot lebih 41 peratus.
Para saintis memberi amaran kekurangan data saintifik berkaitan penurunan serangga di negara-negara tropika juga menghalang pemahaman mereka mengenai kemerosotan lebah di peringkat global, dengan kebanyakan rekod GBIF meliputi Amerika Utara dan Eropah.