Skim visa baharu rakyat Hong Kong lancar hari ini - Utusan Malaysia

Skim visa baharu rakyat Hong Kong lancar hari ini

PEMEGANG pasport BNO boleh membuat permohonan kebenaran visa bermastautin dan bekerja di UK secara dalam talian -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Skim visa baharu yang menawarkan kerakyatan kepada jutaan penduduk Hong Kong di United Kingdom (UK) dilancarkan hari ini.

Bermula tengah hari ini, semua pemegang pasport Warganegara Britain Luar Negara (BNO) dan tanggungan mereka boleh membuat permohonan secara dalam talian bagi kebenaran visa bermastautin dan bekerja di UK. Selepas lima tahun, mereka boleh memohon kerakyatan.

Kerajaan UK berkata, tindakan itu sebagai reaksi terhadap Undang-Undang Keselamatan yang dilaksanakan China pada tahun lalu.

Undang-undang itu dilihat menghancurkan pergerakan demokrasi Hong Kong dan merobek kebebasan wilayah separa autonomi itu sejak 50 tahun lalu di bawah perjanjian penyerahan 1997.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menzahirkan kegembiraan kerana berjaya membawa harapan baharu kepada pemegang pasport BNO Hong Kong untuk tinggal, bekerja dan membina rumah di negara ini.

“Dengan melakukan sedemikian, kita menghormati ikatan mendalam mengenai sejarah dan setia kawan dengan rakyat Hong Kong serta kita mendukung kebebasan dan autonomi yang dipegang oleh kedua-dua negara,” katanya.

Mana-mana penduduk Hong Kong yang lahir sebelum 1997 berhak mendapatkan status BNO.

Visa baharu itu memberi laluan kemasukan ke UK kepada 2.9 juta golongan muda Hong Kong dan 2.3 juta tanggungan mereka.

Sementara itu, China memaklumkan mereka tidak lagi mengiktiraf pemegang BNO sebagai dokumen perjalanan atau pengenalan diri bermula 31 Januari ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya