SINGAPURA: Penahanan seorang remaja berusia 16 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di republik ini secara tidak langsung menunjukkan Singapura juga tidak terlepas dengan ancaman keganasan, tanpa mengira bangsa, perbezaan usia dan agama.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD), remaja lelaki yang merupakan penganut agam Kristian Protestan dan berbangsa India itu merancang untuk menyerang dua masjid di kawasan Woodlands pada 15 Mac ini.
Serangan itu dirancang sebagai memperingati ulang tahun kedua tragedi tembakan pengganas di dua masjid di Christchurch pada Mac 2019.
Jelas ISD, remaja itu yang tidak didedahkan namanya menjadi tahanan termuda di bawah ISA kerana disyaki terlibat dengan kegiatan keganasan.
Remaja itu ditahan pada Disember tahun lalu dan merupakan tahanan ISA pertama yang merancang untuk melakukan serangan keganasan berdasarkan ideologi pengganas berhaluan kanan.
“Remaja itu dipengaruhi dengan antipati yang kuat terhadap Islam serta tertarik dengan keganasan.
“Suspek juga sering menonton video propaganda Daesh di Iraq dan Syria, selain menyalah tafsirkan bahawa kumpulan pengganas itu mewakili Islam dan percaya agama tersebut menggalakkkan penganutnya ‘membunuh mana-mana pihak yang tidak percaya dengan ajarannya’,” jelas jabatan berkenaan.
Meniru serangan Christchurch
Menurut ISD, remaja tersebut didapati sudah membuat perancangan rapi untuk menyerang dua masjid berkenaan dan secara jelas dia terpengaruh dengan tindakan Brenton Tarrant yang melepaskan tembakan di dua masjid di Christchurch.
Remaja itu memilih Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak sebagai sasaran kerana kedua-dua rumah ibadat tersebut terletak berhampiran rumahnya.
Selain itu, ISD juga memaklumkan remaja tersebut menggunakan Google Maps dan Street View untuk meninjau keadaan di dua masjid berkenaan sebagai persiapan melancarkan serangan.
“Remaja itu pada mulanya menyasarkan Masjid An-Nur namun membatalkan niat itu kerana masjid tersebut terletak jauh dari Masjid Assyafaah. Suspek juga sudah merancang perjalanannya dengan mengenal pasti pintu masuk masjid dan tempat meletak kenderaannya.
“Bagi menyediakan diri, remaja itu menonton video YouTube mengenai cara penggunaan pisau atau parang yang betul bagi memastikan ‘hayunan parangnya mengenai tepat pada leher dan dada mangsa’,” kata ISD.
Ketika ditahan, remaja itu memaklumkan dia sudahpun menemukan ‘parang yang bersesuaian’ untuk digunakan dalam serangan tersebut di laman web Carousell, namun belum membelinya.
Berdasarkan laman web tersebut, parang jenama Smith & Wesson itu bernilai S$190 (RM577) dan remaja itu menyimpan duit untuk membeli senjata tersebut.
Jelas ISD, remaja itu pada mulanya merancang untuk melancarkan serangan menggunakan raifal sama seperti Tarrant sebelum bertukar kepada parang.
Dalam pada itu, remaja itu juga merancang untuk menyewa kenderaan untuk memudahkan pergerakannya, selain membeli baju kalis peluru secara dalam talian, belajar cara membuat bom dan membakar masjid dalam rancangan serangannya.
Sebar manifesto
Menurut ISD, remaja itu merancang untuk menyebarkan manifesto serangannya dan menyediakan dua dokumen.
Dokumen pertama adalah mesej kepada penduduk beragama Kristian di Nice, Perancis selepas berlaku serangan di sebuah gereja di bandar itu pada Oktober tahun lalu.
Namun, dokumen kedua tidak sempat disiapkan kerana remaja itu ditahan pihak berkuasa republik ini.
Reaksi ahli politik Singapura
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmuga melahirkan rasa terkejut dengan pengakuan yang dibuat remaja tersebut.
“Rasa seperti tidak percaya seorang remaja berusia 16 tahun menerangkan rancangannya untuk melakukan keganasan kepada ISD.
Shanmugam juga meminta ISD serta Menteri Budaya, Komunikasi dan Belia supaya memastikan semua organisasi agama mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyebaran ideologi salah.
Beliau turut memaklumkan remaja i akan mendapat khidmat peguam dan perlu menghadiri perbicaraan bagi menentukan nasibnya.
Sementara itu, Shamugam melahirkan kebimbangan mengenai kes berkenaan dengan menyatakan sejak 2015, seramai tujuh individu berusia bawah 20 tahun ditahan atau dikenakan sekatan di bawah ISA.
Sebelum ini, remaja berusia 17 tahun menjadi tahanan ISA termuda kerana menyokong Daeh. – AGENSI