KALIMANTAN: Sebilangan penduduk menemui objek logam besar yang didakwa sebagai serpihan pesawat Air Asia QZ-8501 terdampar di pantai Teluk Ranggau, Kampung Sungai Cabang, Kalimantan Tengah, semalam.
Lapor Kompas.com, rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan penduduk menemui logam menyerupai serpihan pesawat di kawasan itu.
Ketua Kampung Sungai Cabang, Muhaimin berkata, video itu dimuat baik oleh penduduk kampungnya melalui akaun Facebook, Andi Sukandi.
“Pertama yang memuat baik video itu penduduk saya. Saya sendiri mendapat video itu dari Ketua Kampung Sungai Ranggau, Pak Jumidi.
“Lokasi penemuan itu jaraknya sekitar 30 minit dari Kampung Sungai Cabang,” katanya.
Menerusi video itu, kelihatan beberapa penduduk sedang duduk di atas kepingan logam berbentuk setengah lingkaran dengan panjang mencapai sembilan meter.
Ketua Pejabat Pihak Berkuasa Pelabuhan (KSOP), Kapten Wahyu Prihanto berkata, pihaknya sedang membuat penyelarasan dengan sebilangan orang mengenai penemuan tersebut.
Katanya, dia mengesyaki objek logam itu adalah serpihan kapal terbang.
“Daripada segi bentuk dan saiz, ia kelihatan seperti setengah lingkaran badan pesawat.
“Panjangnya dikatakan sembilan meter, namun, untuk memastikan logam itu adalah sisa bangkai pesawat Air Asia QZ-8501 masih memerlukan penyiasatan lebih lanjut,” katanya.