KABUL: Seorang wartawan warga Afghanistan yang menjadi jurucakap untuk pasukan perlindungan awam negara, terbunuh bersama dua rakan sekerjanya dalam satu serangan bom yang mensasarkan kenderaan dinaiki mereka.
Insiden pembunuhan membabitkan Zia Wadan yang sebelum ini pernah bekerja di beberapa syarikat media, adalah terbaharu dalam siri pembunuhan yang menggegarkan Afghanistan terutamanya Kabul.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Arian berkata, Wadan bersama rakan sekerjanya terbunuh dalam satu kejadian yang berlaku di bahagian timur ibu negara Afghanistan.
“Sebuah kenderaan yang membawa Wadan diletupkan menggunakan peranti letupan IED sehingga mengakibatkan dia bersama dua rakan sekerjanya terbunuh.
“Seorang lagi individu mengalami kecederaan,” kata Arian.
Setakat ini, tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab atas pembunuhan itu.
Namun, Presiden Ashraf Ghani menuduh militan Taliban yang bertanggungjawab. – AFP