WASHINGTON: Joe Biden menghabiskan masa selama 50 tahun dalam arena politik Amerika Syarikat (AS) dan beliau tidak pernah menyangka akan bergelar presiden negara ini suatu hari nanti.
Pemimpin berusia 78 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-46 semalam selepas menewaskan Donald Trump dalam pilihan raya presiden tahun lalu.
Biden akan dibantu oleh Kamala Harris yang mengangkat sumpah sebagai Timbalan Presiden AS, sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang memegang jawatan nombor dua tertinggi dalam negara.
Banyak pihak menyifatkan Biden bakal berdepan dengan pentadbiran paling getir susulan ‘cela’ yang ditinggalkan oleh Trump sepanjang kariernya sebagai presiden negara ini.
Namun, Biden dilihat enggan ‘melayan semua tanggapan negatif itu apabila mula mengorak langkah penuh keyakinan’.
Berikut merupakan antara perubahan dasar yang dilakukan Biden selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden AS yang baharu.
Pandemik Covid-19
Biden mewajibkan pemakaian pelitup muka dan menjaga jarak sosial di premis persekutuan di seluruh negara.
Biarpun ada pihak yang tidak bersetuju dengan langkah itu, Biden berikrar untuk menggunakan kaedah ‘paling sesuai’ untuk menggalakkan semua pihak mematuhi peraturan tersebut.
Selain itu, Biden merancang untuk mempercepatkan pengagihah dan pengedaran vaksin Covid-19 di seluruh negara dengan menyasarkan 100 juta orang dalam tempoh 100 hari beliau memasuki White House.
Malahan, Biden turut merancang untuk menggunakan semua dos vaksin yang ada daripada menyimpannya untuk suntikan dos kedua.
Trump sebelum ini memutuskan AS bukan lagi negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan menarik diri daripada agensi tersebut.
Namun, Biden ‘memperbaiki keadaan itu’ dengan menyatakan hasrat untuk menyertai semula WHO.
Pendekatan Ekonomi
Pasukan Biden merancang pelan segera untuk melanjutkan moratorium bagi mengelakkan lebih banyak penduduk diusir dari rumah kerana gagal melunaskan bayaran sewa bulanan.
Pada minggu lepas, Biden mengumumkan pakej rangsangan bernilai AS$1.9 trilion (RM7.7 trilion) untuk memulihkan ekonomi negara ini susulan pandemik Covid-19.
Jika diluluskan oleh Kongres, penduduk AS bakal menerima bayaran bantuan sebanyak AS$1,400 (RM5,643).
Selain itu, Biden juga dalam perancangan untuk menamatkan polisi pemotongan cukai yang diperkenalkan Trump pada 2017.
Namun, hubungan ekonomi antara China dan AS dijangka terus tegang biarpun era kepemimpinan Trump sudah berakhir.
Alam sekitar dan perubahan iklim
Biden akan membawa AS menyertai semula perjanjian iklim Paris selepas Washington mengundurkan diri daripada persetujuan itu di bawah pentadbiran Trump pada 2015.
Polisi Imigresen
Larangan perjalanan merupakan antara polisi pertama yang akan dibatalkan oleh Biden.
Polisi itu ditandatangani oleh Trump pada Januari 2017 menyaksikan rakyat dari tujuh negara Islam tidak dibenarkan masuk ke AS.
Ketika ini, AS mengehadkan kemasukan rakyat dari Iran, Libya, Somalia, Syria, Yemen, Venezuela dan Korea Utara.
Reformasi keadilan kaum dan jenayah
Biden berjanji untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini bagi memperbaiki jurang ekonomi serta sosial penduduk.
Presiden baharu AS itu juga merancang untuk menubuhkan badan pemantau polis yang bertujuan mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam kalangan anggota keselamatan.
Kukuhkan hubungan dengan sekutu
Trump mungkin dilihat terlalu lantang hingga menyebabkan ada antara sekutu AS tidak bersetuju dengan inisiatif yang diusahakan bekas presiden itu.
Biden pula berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan sekutu AS dan berjanji bahawa negara ini akan ‘sentiasa ada’ untuk mereka. – AFP/AGENSI