Sambutan Tahun Baharu 2021 hambar  - Utusan Malaysia

Sambutan Tahun Baharu 2021 hambar 

KEBANYAKAN negara memutuskan untuk membatalkan sambutan ambang tahun baharu 2021. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Lebih 1.8 juta orang mati akibat pandemik Covid-19 yang merebak ke seluruh dunia termasuk 81 juta kes positif wabak itu dilaporkan sehingga saat ini. 

Dek kerana itu, segala sambutan besar-besaran menyambut ambang tahun baharu 2021 terpaksa dibatalkan bagi mengelakkan perhimpunan orang ramai yang boleh menyukarkan penjarakan sosial. 

Berikut merupakan situasi yang berlaku di kebanyakan negara di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat. 

Apa yang berlaku di Eropah? 

Di Perancis, kerajaan memerintahkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan bandar dari pukul 7 malam, pada Khamis, semasa perintah berkurung bermula. Malah di Paris, sebahagian laluan kereta api ditutup. 

Negara itu mengarahkan bar, restoran dan tarikan kebudayaan ditutup sempena tahun baharu. 

Presiden Emmanuel Macron memberikan respon terhadap kelambatan proses vaksinasi di Perancis dan berjanji proses itu tidak akan tertunda lagi. 

Di England, Perdana Menteri, Boris Johnson menggesa penduduknya mematuhi peraturan untuk kekal berada di rumah kerana virus Covid-19 semakin merebak pantas dan menjangkiti 20 juta orang. 

“Ini bermakna tiada perjumpaan dengan rakan atau keluarga melainkan mereka adalah isi rumah yang sama dan elakkan mengadakan perjumpaan dalam apa jua bentuk,” katanya. 

Lorong-lorong di kota London menjadi sunyi sepi semasa sambutan tahun baharu selepas pihak polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mengadakan sambutan di rumah. 

Di Ireland, semua kunjungan rumah ke rumah dihalang termasuk menutup semua kedai barangan bukan keperluan serta halangan merentas perjalanan sehingga lima kilometer (km). 

Jerman berada dalam perintah berkurung sehingga 10 Januari depan. Kerajaan negara itu menghalang penjualan bunga api serta mengenakan kawalan ketat terhadap bilangan orang yang boleh berkumpul di tempat awam. 

Itali melaksanakan perintah berkurung sejak pukul 10 malam semasa sambutan tahun baharu kepada semua bar, restoran dan kedai. 

Belanda turut berada di bawah perintah kawalan pergerakan sehingga 19 Januari nanti. Kebiasaannya acara mengira detik tahun baharu diadakan di stadium bola sepak Amsterdam. 

Turki pula melaksanakan perintah berkurung selama empat hari berturut-turut. 

Situasi di AS? 

Amaran dan larangan mengadakan sambutan tahun baharu di semua negeri dan bandar dikeluarkan di negara itu termasuk San Francisco dan Las Vegas. 

Di New York, Times Square Ball diturunkan semasa acara mengira detik sambutan itu dan kawasan tersebut ditutup kepada orang awam kecuali bagi petugas barisan hadapan yang dikenali sebagai Hero 2020 serta keluarga mereka dibenarkan menjadi tetamu istimewa dengan mengamalkan penjarakan sosial. 

Bagaimana negara di rantau Asia Pasifik? 

Australia masih meneruskan sambutan bunga api tetapi orang ramai tidak dibenarkan berhimpun di kawasan bandar tersebut untuk meraikannya. 

Kebanyakan penduduk Sydney menyaksikan letupan bunga api itu di televisyen rumah masing-masing dan hanya lima tetamu sahaja dibenarkan datang ke rumah. 

Di China, sambutan tahun baharu di ibu negara, Beijing dibatalkan dan dikurangkan di seluruh bandar. Namun di Wuhan, yang menyaksikan permulaan merebaknya wabak Covid-19, ribuan penduduk berkumpul di kawasan bandar untuk menyambutnya dengan belon dilepaskan ke udara. 

Jepun membatalkan sambutan tahun baharu yang tradisinya Maharaja Naruhito dan keluarga diraja lain bertemu orang ramai. 

Di India, Delhi dan beberapa bandar lain melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam dan larangan lain bagi menghalang sambutan tahun baharu. 

Di New Zealand, perintah berkurung dan sempadan ditutup, namun, sambutan tahun baharu diadakan seperti biasa di Auckland. 

Di Singapura, walaupun tiada percikan bunga api di Marina Bay, penduduk melihat bunga api di 11 lokasi. 

Di Beirut, bar, restoran dan kelab malam dibuka semula dan mengiklankan pesta besar-besaran bagi menandakan peralihan tahun baharu. -AFP 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya