BEIJING: Akibat terlalu taksub dengan pembedahan plastik, seorang remaja berusia 16 tahun sanggup melalui sebanyak 100 prosedur dalam tempoh tiga tahun untuk mengubah penampilannya, lapor Oddity Central.
Zhou Chuna merupakan personaliti media sosial di China dengan memiliki seramai 300,000 pengikut menerusi platform blog mikro Sina Weibo dan gadis itu mencipta populariti dengan mendokumentasikan transformasi penampilannya daripada biasa sehingga kelihatan seperti anak patung.
Chuna menyifatkan usahanya itu sebagai berbaloi walaupun mengalami kesan sampingan seperti hilang ingatan dan parut kekal.
Malahan, gadis itu memberitahu kepada pengikutnya, tujuan utama dia membuat pembedahan plastik adalah kerana wajahnya yang kurang cantik, sekali gus menyebabkan dia tidak berkeyakinan.
Luahnya, sebelum ini matanya terlalu kecil dan hidungya agak besar sehingga menyebabkan dia sering menjadi bahan jenaka oleh kawan-kawanya.
“Mereka sering memanggil saya dengan nama yang memalukan, buat bahan jenaka dan sering memberikan saya tugas berat semasa membersihkan kelas sedangkan murid yang cantik hanya dapat tugas mudah,” ujarnya.
Disebabkan peristiwa itu, dia sedar kehidupannya tidak akan menjadi lebih baik melainkan mengubah penampilannya menerusi pembedahan plastik.