JAKARTA: Suasana duka menyelubungi Dewan Serba Guna Lapangan Terbang Supadio di Pontianak, Kalimantan Barat selepas pesawat Sriwijaya Air dilaporkan terhempas di kawasan perairan Pulau Seribu, Jakarta semalam.
Lapor CNN Indonesia, ratusan ahli keluarga mangsa penerbangan SJ182 itu berkumpul di lapangan terbang tersebut bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa, malahan ada di antara mereka menangis tidak dapat menahan kesedihan.
Seorang daripada keluarga mangsa, Efraim memaklumkan dia masih menunggu berita mengenai keluarganya daripada syarikat Sriwijaya Air.
“Ada nama keluarga saya sebagai penumpang pesawat tersebut. Saya masih menunggu kepastian, mungkin Sriwijaya akan beri maklumat lanjut,” katanya yang kelihatan sugul.
Selain itu, pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera juga membantu para keluarga mendapatkan maklumat terkini berhubung kejadian tersebut.
Petugas lapangan terbang turut dilihat menenangkan ahli keluarga mangsa.