WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Ted Cruz berkata, beliau akan mengetuai sekumpulan Senator Republikan mencabar kemenangan pemimpin Demokrat, Joe Biden ketika keputusan Dewan Pemilih dihitung dalam Kongres pada 6 Januari ini.
Gerakan itu dilihat hampir tidak mempunyai peluang untuk menghalang Biden daripada memegang jawatan Presiden.
Lapor Reuters, usaha Cruz bertentangan dengan pemimpin Senat Republikan yang berpendapat bahawa peranan Senat mengesahkan pemilihan itu dan berusaha untuk mengelakkan perbahasasan panjang lebar mengenai hasilnya.
Dalam satu kenyataan, Cruz yang juga Senator dari Texas bersama 10 senator lain berkata, mereka berhasrat mengundi untuk menolak pemilih dari negeri yang memberikan dakwaan tidak berasas dalam pilihan raya presiden.
Kumpulan berkenaan menuntut supaya satu suruhanjaya khas ditubuhkan untuk melakukan audit kecemasan terhadap proses pemilihan Presiden selama 10 hari ketika Kongres bersidang.
“Setelah selesai, setiap negeri kemudian boleh menyusuli dengan mengadakan sesi perundangan khas dan berupaya menyemak semula jumlah undi jika diperlukan,” ujarnya.
Tidak diketahui dengan jelas negeri mana yang akan dikenakan audit yang dicadangkan, kata pejabat Cruz.
Dalam pada itu, jurucakap kempen Biden, Michael Gwin menolak tindakan itu sebagai tindakan yang tidak disokong dengan bukti.
“Aksi ini tidak akan mengubah kenyataan bahawa Presiden terpilih Biden akan mengangkat sumpah pada 20 Januari dan tuntutan tidak berasas ini telah diperiksa serta dihentikan peguam Trump, puluhan mahkamah dan pegawai pilihan raya dari kedua-dua pihak,” katanya.