WARSAW: Sebuah hospital di Warsaw dikecam hebat kerana memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan selebriti dan ahli politik.
Tindakan hospital itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menggesa kerajaan melakukan siasatan terhadap perkara itu dengan segera.
Poland yang sudah memulakan kempen vaksinasi pada 27 Disember tahun lalu, pada masa ini seharusnya memberi suntikan vaksin kepada pekerja perubatan di bawah rancangan kerajaan.
Namun, hospital Medical University of Warsaw pada minggu lalu memaklumkan sudah memberi suntikan vaksin kepada 18 tokoh budaya yang bakal menjadi duta bagi kempen vaksinasi Poland.
Menurut hospital itu, pihaknya sudah memberi sebanyak 450 dos suntikan termasuk 300 bagi kakitangannya sendiri dan 132 untuk anggota keluarga serta pesakit mereka.
Senarai pesakit itu termasuk beberapa ahli politik.
Antara selebriti yang diberi suntikan vaksin Covid-19 adalah pelakon Maria Seweryn, 45, penyanyi Michal Bajor, 63, dan wartawan televisyen, Edward Miszczak, 65.
Program vaksinasi yang luar biasa itu terbongkar apabila bekas Perdana Menteri Poland, Leszek Miller yang juga pesakit di hospital terbabit, memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan beliau menerima vaksin Covid-19 pada 30 Disember tahun lalu.
Beberapa ahli politik tempatan di kawasan lain di Poland termasuk anggota Parti Undang-Undang dan Keadilan (PiS) dikritik hebat kerana menerima vaksin tanpa mengikut giliran. – AFP