SINGAPURA: Rakyat Malaysia yang bekerja di republik ini dan memiliki taraf penduduk tetap (PR) layak untuk memohon skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
Menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, permohonan untuk melakukan perjalanan di bawah skim tersebut akan dibuka mulai hari ini.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura juga mengemas kini maklumat mengenai skim tersebut di laman sesawang SafeTravel.
“Kemasukan kategori ini dalam skim PCA bakal membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura memohon cuti pendek selepas bekerja di negara ini sekurang-kurangnya selama 90 hari berturut-turut,” kata Suruhanjaya Tinggi itu di Facebook.
Sebelum ini, skim PCA hanya dibuka bagi rakyat Singapura dan Malaysia yang memiliki pas imigresen jangka panjang di negara lain.
Menurut laman sesawang ICA, semua pengembara PCA kecuali rakyat berstatus PR Singapura yang tiba di negara ini perlu menjalani saringan Covid-19 dalam tempoh 72 jam selepas berlepas.
Pengembara perlu mengemukakan laporan keputusan negatif ujian saringan Covid-19 dalam bahasa Inggeris daripada makmal diiktiraf dan bertauliah di Malaysia.
Selepas memasuki Singapura, semua pengembara PCA termasuk rakyat berstatus PR Singapura perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti disediakan selain perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sekali lagi sebelum dibenarkan keluar.
Pemohon PCA hanya dibenarkan masuk atau keluar melalui dua pusat pemeriksaan iaitu di Woodlands dan Tuas. – AGENSI