WASHINGTON: Tahun 2020 menyaksikan industri penerbangan merudum ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan banyak penerbangan terpaksa dibatalkan.
Namun, laman web AirlineRatings.com tetap mengeluarkan senarai syarikat penerbangan paling selamat di dunia bagi 2021.
Penilaian itu melibatkan 385 syarikat penerbangan di seluruh dunia melibatkan jumlah kemalangan termasuk pesawat terhempas serta usia pesawat yang digunakan.
Lapor CNN, ketua editor laman web tersebut, Geoffrey Thomas berkata, tempat pertama dalam senarai menjadi milik syarikat penerbangan Australia, Qantas.
Pemilihan itu dibuat berdasarkan komitmen syarikat penerbangan tersebut yang melatih semula semua juruterbangnya selepas direhatkan akibat pandemik Covid-19.
Qantas pernah memegang gelaran syarikat penerbangan paling selamat di dunia dari 2014 hingga 2017 dan 2019 serta 2020.
Tempat kedua menjadi milik syarikat penerbangan Qatar Airways dan ketiga, Air New Zealand.
Jelas Thomas, penilaian juga dibuat berdasarkan dakwaan rasuah serta penipuan lesen juruterbang.
Selain itu, AirlineRatings juga menyenaraikan syarikat penerbangan tambang murah paling selamat di dunia termasuk Air Arabia, Ryanair, EasyJet, Jetstar Group dan Vietjet.
Senarai 10 syarikat penerbangan terselamat dunia:
- Qantas
- Qatar Airways
- Air New Zealand
- Singapore Airlines
- Emirates
- EVA Air
- Etihad Airways
- Alaska Airlines
- Cathay Pacific Airways
- British Airways