JOE BIDEN ibarat genggam bara api, sama ada bara yang terpadam atau tangan beliau yang akan hangus.
Itu perumpamaan buat Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 itu yang baru mengangkat sumpah.
Pelantikan tersebut dianggap sebagai jawatan paling mencabar dalam abad ke-21 sepanjang sejarah pelantikan presiden AS sejak George Washington menjadi presiden pertama AS pada 1789.
Bukan sahaja Donald Trump sudah memecahbelahkan negara Uncle Sam itu kepada ideologi fahaman perkauman yang mengagungkan ketuanan kulit putih, namun, Biden terpaksa berhadapan tiga ujian getir selain fakor beliau yang sudah lanjut usia.
Cabaran paling getir bukanlah ancaman keganasan luar, sebaliknya adalah ancaman daripada pemberontakan dalaman rakyatnya sendiri sehingga mengorbankan seorang anggota polis susulan tindakan penyokong Trump yang merusuh di bangunan Capitol, AS, baru-baru ini.
Insiden itu menggambarkan Biden seperti teragak-agak dalam membuat keputusan.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir menyifatkan tragedi itu adalah karma buat AS yang sebelum ini begitu mendabik dada mendukung hak asasi manusia tetapi rakyatnya sendiri tidak mampu menghormati sistem pemerintahan.
Menyingkap sejarah, AS sendiri pernah membuat onar di negara lain. Bermula dari negara Asia Tenggara, Vietnam hingga ke negara Asia Barat, Afghanistan. Campur tangan mereka bukan kepalang. Hari ini, Tuhan sudah buktikan berlaku pemberontakan di negara sendiri.
Sedangkan AS dahulunya begitu mudah menembak orang awam semasa di Afghanistan yang didakwa sebagai ancaman keganasan.
Persoalannya, kenapa tindakan sama tidak dilakukan di negara sendiri? Negara yang terkenal dengan teknologi canggih itu seolah-olah tidak dapat mengesan sebarang bentuk ancaman yang akan berlaku di Capitol.
Kenapa tidak ditembak sahaja perusuh pada awalnya? Inilah akibatnya apabila AS terlalu menyanjung tinggi prinsip kebebasan yang tidak boleh menyentuh rakyatnya kerana dianggap menzahirkan ekspresi mereka.
Salawati dengan sinis menyifatkan pengurusan krisis semasa insiden serangan di Capitol sebagai sangat kelakar. Natijahnya, AS mampu melaksanakan apa jua tindakan bertujuan menakluk negara lain, tetapi gagal menterjemahkan di negara sendiri.
“Cabaran kedua sudah tentu Biden terpaksa berhadapan kedegilan rakyatnya sendiri dalam memerangi pandemik Covid-19 yang melonjak tinggi setiap hari sehingga mencecah 24 juta kes positif.
Cabaran ketiga pula bagaimana Biden perlu berhadapan dengan China yang masih berseteru dengan AS sehingga hari ini?,” kata Salawati kepada Utusan Malaysia semalam.
China dilihat masih terus menyaingi AS seperti laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk World Economic Outlook, October 2020: A Long and Difficult Ascent yang mengesahkan China memintas AS sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia.
KEPUTUSAN PILIHAN RAYA
Hakikatnya, Biden tidak berjaya memenangi pilihan raya sebenar AS kerana Trump berjaya membina keyakinan kepada penyokong ortodoks seperti di kawasan kampung dan perladangan yang didiami oleh majoriti golongan kulit putih seperti di Alabama, Ohio dan Iowa.
Sebaliknya, Biden hanya berjaya meraih undi di kawasan bandar yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai etnik baik kulit putih dan kulit hitam seperti di New York, Washington dan California.
Umpamanya, Trump mempunyai satu tiang seri rumah yang besar dan kukuh, manakala, Biden mempunyai banyak tiang seri namun tidak kukuh serta kecil sokongannya.
Disebabkan itu, pemimpin Parti Demokrat tersebut terpaksa mencorakkan strategi membawa konsep unity kepada semua kaum menerusi manifestonya.
PENGALAMAN LALU
Sekalipun Biden pernah menyandang jawatan Naib Presiden AS semasa pentadbiran Barack Obama, pengalaman dua penggal di Rumah Putih ketika itu jauh berbeza dengan situasi sekarang yang berubah 360 darjah.
Dunia pasca Covid-19 sudah melihat aspek keselamatan dalam definisi berbeza. Bukan lagi soal ancaman keganasan luar seperti serangan Al-Qaeda, tetapi ancaman keganasan dalaman serta tekanan yang datang daripada rakyat sendiri. Mampukah Biden?