LONDON: Seramai 31 anggota polis didenda sebanyak 200 pound (RM1,105) selepas menggunting rambut mereka di balai polis, lapor Daily Mail.
Mereka bertindak memanggil tukang gunting rambut profesional datang ke Balai Polis Bethnal Green di timur London, minggu lalu.
Tindakan mereka itu menggambarkan sikap tidak peka dengan peningkatan kes Covid-19 yang menyebabkan lebih 1,000 orang mati setiap hari dan melanggar peraturan perintahan kawalan pergerakan.
Dua anggota polis yang menguruskan tukang gunting rambut itu sedang disiasat.
Sumber memberitahu The Sun tukang gunting rambut berasal dari Turki itu mengenakan caj sebanyak 10 pound (RM55) bagi setiap pelanggan.
Ketua Superintenden Detektif, Marcus Barnett berkata, kejadian itu sangat mendukacitakan dan beliau kecewa dengan sikap pegawainya yang gagal menterjemahkan peraturan semasa pandemik Covid-19.
“Orang awam melihat polis sebagai contoh tauladan dalam mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan bagi menghalang penyebaran virus tersebut.
“Saya berharap tindakan ini membuktikan anggota polis tidak kebal daripada sebarang pelaksanaan undang-undang dan kita sentiasa bersedia mengambil tindakan sekiranya melihat anggota pasukan lain yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sehari sebelum itu, anggota polis lain turut didenda 200 pound setiap seorang selepas didapati bersarapan bersama-sama di dalam sebuah kafe di London semasa kawalan pergerakan dilaksanakan.