Pesawat Sriwijaya Air berkecai ketika terhempas - Utusan Malaysia

Pesawat Sriwijaya Air berkecai ketika terhempas

PETUGAS kesihatan menyembur cecair pembasmi kuman ke atas beg mayat yang mengandungi cebisan daging penumpang pesawat Sriwijaya Air. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pasukan penyiasat di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) menyatakan badan pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di perairan Kepulauan Seribu pada Sabtu lalu berkemungkinan pecah kepada beberapa bahagian ketika menjunam ke dalam laut.

Hipotesis itu dibuat berdasarkan keadaan serpihan bangkai pesawat yang ditemukan di dasar laut oleh pasukan mencari serta menyelamat (SAR).

Jurucakap KNKT, Nurcahyo Utomo berkata, andaian itu masih belum dimuktamadkan dan hanya berdasarkan keadaan serpihan bangkai pesawat yang  bertaburan dalam kawasan yang tidak terlalu luas.

“Terdapat kemungkinan badan pesawat itu terbelah atau pecah kepada beberapa bahagian ketika ia terhempas di laut.

“Jika pesawat itu meletup di udara, serpihan badan kapal terbang berkenaan akan bertaburan secara meluas,” katanya.

Lapor Reuters, Pesawat Boeing 737-500 dengan nombor penerbangan SJ182 itu dalam perjalanan dari Jakarta ke Pontianak di Kalimantan Barat dengan membawa seramai 62 penumpang termasuk 12 anak kapal.

Kapal terbang itu dilaporkan hilang dari radar empat minit sejurus berlepas dan sehingga kini, punca nahas masih belum dikenal pasti.

Ketua KNKT, Soerjanto Tjahjono semalam memaklumkan lokasi kotak hitam pesawat tersebut sudah dikenal pasti.

“Kami berharap kotak hitam tersebut boleh ditemukan segera,” ujarnya tanpa memberikan jangka masa operasi mengesan alat tersebut.

Selain itu, serpihan bangkai pesawat sudah dihantar ke pelabuhan Jakarta oleh pasukan SAR termasuk radar altimeter, gelongsor kecemasan dan sebahagian ekor kapal terbang.

Turut ditemukan serpihan badan pesawat berwarna biru dan merah yang merupakan warna rasmi Sriwijaya Air.

Pihak berkuasa memaklumkan serpihan itu dibawa naik ke permukaan dari kedalaman 23 meter.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat juga menemukan bahagian tubuh dua dewasa dan dua kanak-kanak, selain pakaian milik penumpang.

Setakat ini, sebanyak 16 beg mayat berisi cebisan daging mangsa dan tiga beg mengandungi serpihan bangkai pesawat sudah dikumpul.

Sementara itu, operasi mencari kotak hitam diteruskan hari ini biarpun keadaan laut yang bergelora.

Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), Maz Rasman berkata, seramai 2,600 anggota keselamatan dari gabungan semua unit beruniform dikerah untuk meneruskan operasi SAR hari ini.

Jelas beliau, sebanyak 53 kapal, 20 jet ski, bot ‘inflatable‘ dan 12 unit ambulans akan digunakan dalam operasi tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya