HONG KONG: Beribu-ribu penduduk Hong Kong diarahkan untuk terus berada di rumah ketika pihak berkuasa berusaha memerangi wabak Covid-19 yang melanda di salah sebuah daerah yang miskin dan paling padat di wilayah berkenaan.
Ia perintah berkurung pertama dilaksanakan di wilayah separa autonomi itu sejak pandemik Covid-19.
Perintah itu menyekat kira-kira 10,000 penduduk yang tinggal di blok perumahan bertingkat dalam kawasan kejiranan Jordan, daripada keluar rumah melainkan jika mereka dapat mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 negatif.
Pihak berkuasa memberitahu, pihaknya bercadang untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap semua penduduk di zon yang dikenal pasti dalam tempoh 48 jam bagi mencapai matlamat sifar kes di daerah tersebut.
“Penduduk harus kekal berada di rumah masing-masing bagi mengelakkan jangkitan silang sehingga mereka mendapat keputusan ujian saringan,” kata Menteri Kesihatan, Sophia Chan kepada pemberita.
Menurut portal South China Morning Post, perintah berkurung itu membabitkan kira-kira 150 blok perumahan dengan beratus-ratus polis bersiap sedia untuk melakukan kawalan di kawasan berkenaan.
Hong Kong merupakan salah satu wilayah pertama yang dilanda wabak koronavirus selepas ia menular di bahagian tengah China.
Hong Kong sebelum ini dilaporkan berjaya mengawal penularan jangkitan wabak itu dengan mengekalkan jumlah kes di bawah 10,000 dengan kira-kira 170 kes kematian menerusi langkah penjarakan sosial yang berkesan sepanjang tahun lalu.
Namun, sejak dua bulan kebelakangan ini, wilayah separa autonomi itu dilanda gelombang keempat jangkitan Covid-19 dengan pihak berkuasa berusaha untuk menurunkan jumlah kes harian tersebut.
Kluster wabak itu muncul di kawasan kejiranan golongan penduduk berpendapatan rendah di Yau Tsim Mong, daerah bandar utama Kowloon yang terkenal dengan antara perumahan paling padat di dunia. – AFP