TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga memohon maaf atas tindakan beberapa ahli Parlimen dari parti pemerintahnya melawat kelab malam, ketika kerajaan menggesa rakyat untuk kekal berada di rumah bagi menangani penularan wabak Covid-19.
Rating sokongan terhadap Suga ketika ini dilaporkan semakin merosot selepas pemerintahannya dikritik lembab dan tidak konsisten menangani pandemik.
“Saya ingin memohon maaf kerana perkara ini berlaku apabila kami menasihatkan orang ramai tidak keluar makan selepas pukul 8 malam dan mengelak perjalanan jika tidak mempunyai urusan penting.
“Setiap ahli Parlimen perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan mematuhi peraturan,” katanya.
Pada awal bulan ini, kerajaan Jepun mengisytiharkan darurat kecemasan di Tokyo dan beberapa kawasan lain untuk memerangi peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.
Langkah itu termasuk meminta restoran dan bar menutup operasi pada pukul 8 malam meskipun ketika ini tiada hukuman dikenakan sekiranya pemilik perniagaan gagal mematuhi. – REUTERS/AGENSI