WASHINGTON: Prosiding perbicaraan pendakwaan terhadap Donald Trump di Senat Amerika Syarikat (AS) akan bermula pada minggu kedua bulan hadapan.
Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer berkata, langkah itu susulan beberapa hari selepas sebuah kes pendakwaan baharu terhadap bekas presiden itu akan dikemukakan oleh Dewan Perwakilan.
Jadual baharu yang diumumkan itu menggambarkan perjanjian dicapai oleh pemimpin Senat untuk menangguhkan sebahagian besar perbicaraan itu selama dua minggu bagi membolehkan dewan melakukan urusan penting lain termasuk mengesahkan pencalonan anggota Kabinet Presiden Joe Biden.
Pada 13 Januari lalu, Dewan Perwakilan mendakwa Trump, buat kali kedua, hanya seminggu sebelum beliau meninggalkan White House.
Schumer berkata, usul pendakwaan itu akan dihantar dan dibacakan kepada Senat pada Isnin.
Kesemua 100 anggota Senat akan mengangkat sumpah sebagai juri perbicaraan pada keesokan hari.
Anggota Dewan yang dipilih oleh Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi bertugas sebagai pengurus pendakwaan dan pasukan pertahankan Trump akan diberi masa untuk menyediakan pembelaan mereka.
“Selepas proses itu selesai, pembentangan kes oleh kedua-dua parti akan bermula pada minggu 8 Februari depan,” katanya di perkarangan Senat.
Jelas beliau, selama tempoh dua minggu itu, Senat akan membahaskan pencalonan anggota Kabinet Biden dan rang undang-undang bantuan Covid-19 yang bakal membantu berjuta-juta rakyat AS yang terkesan dengan pandemik tersebut.
Dalam pada itu, portal The Mirror melaporkan, Trump seolah-olah memberi bayangan akan kembali bertanding sebagai calon presiden AS dalam pilihan raya pada 2024.
Menurut bekas presiden kepada Washington Examiner: `Kita akan melakukan sesuatu, tetapi belum tiba masanya lagi.”
Beliau memberi petunjuk itu dalam satu perbualan singkat di restoran kelab golf antarabangsa Trump sebelum salah seorang pembantunya menghentikan perbualan itu. – AFP/AGENSI