JAKARTA: Gambar pasangan pengantin berjalan atas lumpur dengan pengantin perempuan berkaki ayam menjadi tular dalam media sosial di negara ini.
Lapor Tribunnews, kejadian itu berlaku di Sihaporas, daerah Permatang Sidamanik di wilayah Simalungun.
Menurut akaun Facebook bernama Bella Poto yang menjadi jurugambar pasangan pengantin tersebut, mereka terpaksa berjalan kaki kerana kenderaan yang dinaiki tidak dapat melalui jalan berlumpur.
“Demi cinta sejati, pasangan pengantin ini tidak kisah walaupun perlu berjalan kaki meredah lumpur tebal,” tulisnya dalam media sosial itu.
Dalam pada itu, pengantin perempuan, Nur Harianja menceritakan dia terpaksa berjalan kaki meredah lumpur sejauh 500 meter dari rumahnya menuju ke tempat perkahwinan.
“Jalan itu selalunya kering dan mudah dilalui oleh semua kenderaan, namun musim hujan menjadikan jalan tersebut diseliputi lumpur tebal.
“Saya juga berkaki ayam kerana tidak mahu kasut kahwin kotor, walaupun rasa tidak selesa namun upacara perkahwinan kami perlu diteruskan,” ujarnya.