JAKARTA: Wartawan Voice of America (VOA) yang berasal dari Indonesia, Patsy Widakuswara kembali bertugas membuat liputan di White House.
Lapor Tribunnews, perkara itu dimaklumkan oleh Patsy menerusi akaun Twitternya.
Pada 11 Januari lalu, Patsy digantung daripada membuat liputan di White House oleh Pengarah VOA, Robert Reilly selepas dia mengajukan soalan kepada bekas Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo mengenai rusuhan di bangunan Capitol dan tentang perubahan kepemimpinan dalam media AS.
Namun, Reilly bersama timbalannya dipecat oleh Joe Biden selepas beliau mengangkat sumpah sebagai presiden baharu AS
Jelas Patsy, insiden itu bukan yang pertama melibatkan tenaga kerja VOA dipecat kerana sebelum ini, rakan sekerjanya, juga pernah disiasat atas tuduhan berat sebelah terhadap pemimpin.
“Saya berasa lega kerana dapat bekerja semula dan kami di VOA sentiasa bersemangat untuk sampaikan berita yang telus kepada semua penduduk dunia.
“Kami akan pegang polisi ini dan teruskan sampai bila-bila. Selamat bertemu di White House,” ciap Patsy dalam Twitternya.