SAO PAULO: Seorang personaliti media sosial wanita dari Brazil dilaporkan patah 28 tulangnya selepas dilanggar lori dalam satu kemalangan ngeri.
Lapor Daily Star, Beatriz Rabi, 19, turut mengalami keretakan pada lima tulang vertebra dalam kemalangan tersebut.
Menurut Rabi, ketika kejadian, dia sedang menaiki motosikal bersama ayahnya dan terjatuh ketika menunggang di atas jalanan berpasir di Sao Paulo, Brazil.
Katanya, dia kemudian dilanggar oleh sebuah lori besar di jalan raya itu.
Menurut personaliti media sosial itu, ketika kemalangan tersebut, dia masih sedar namun tidak dapat merasa apa-apa pada bahagian kakinya.
“Apabila lori tersebut melintas, tiada sesiapa yang melihatnya pada waktu itu, hanya saya dapat merasakannya.
“Tiada sesiapa yang percaya pada saya tetapi apabila sampai di hospital, doktor memberitahu bahawa lori itu telah melanggar saya sehingga mengakibatkan 28 tulang saya patah,” kata Rabi kepada 72,300 pengikut di Instagram.
Rabi dalam keadaan menangis turut memberitahu pengikutnya bahawa ramai terkejut dengan insiden yang menimpa dirinya.
Beberapa gambar Rabi berada di hospital termasuk ibunya datang melawat, dimuat naik dalam Instagram.