LONDON: Beberapa pakaian yang dihasilkan untuk kegunaan banduan di United Kingdom (UK) dilaporkan dijual secara haram di eBay.
Lapor Mirror, sepasang seluar, jumper dan jaket merupakan antara pakaian penjara yang dijual di platform e-dagang global itu.
Biasanya, pakaian penjara akan diserahkan ke kedai untuk digunakan semula selepas seseorang banduan dibebaskan.
Namun, ada juga pihak pengurusan penjara membenarkan penghuninya keluar dalam pakaian penjara jika mereka tidak mempunyai baju lain.
Menurut HM Prison Service, penjualan pakaian penjara untuk kegunaan banduan adalah salah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, carian dilakukan akhbar Examiner Live berjaya mengesan beberapa barangan kononnya dihasilkan atau dipakai di penjara Yorkshire, diletakkan untuk dijual.
Malah, seorang individu mendakwa pakaian tersebut diseludup keluar dari penjara ‘Monster Mansion’, yang menempatkan banduan paling berbahaya di England dan Wales.
Beberapa pakaian tersebut, sama ada disenaraikan di bawah memorabilia penjara atau bahagian pakaian utama, dianggap sebagai koleksi dan boleh mencecah harga yang tinggi.