JAKARTA: Sekumpulan kanak-kanak menemukan bahagian tubuh manusia berupa kepala ketika bermain di tepi pantai Kis di Pakuhaji, Tangerang, Banten.
Menurut Ketua Polis Pakuhaji, Dodi Abdul Rohim, kepala itu mungkin milik penumpang pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di antara Pulau Lancang dan Pulau Laki di Kepulauan Seribu pada 9 Januari lalu.
“Kepala itu sudah hancur, namun pihak berkuasa masih boleh melakukan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berdasarkan helaian rambut yang ada untuk mengenal pasti identiti mangsa.
“Selepas penemuan itu, anggota polis dikerahkan ke pantai tersebut untuk memeriksa jika terdapat penemuan lebih banyak bahagian tubuh manusia kerana jarak Pulau Lancang dan Pantai Kis tidak jauh,” katanya.
Dodi juga memaklumkan operasi pencarian akan diteruskan sehingga esok.
Setakat ini, pasukan forensik sudah mengenal pasti sebanyak 43 daripada 62 identiti mangsa nahas dengan kotak perakam suara kokpit masih belum ditemukan.