BOGOTA: Seorang wanita sanggup menyamar sebagai gelandangan bagi membantu polis memburu suspek yang membunuh dan menculik anak perempuannya.
Nathalie Amaya memaklumkan dia mengubah penampilannua untuk bergaul dengan golongan gelandangan yang tinggal di sebuah bangunan terbiar di sekitar Bogota di San Bernado.
Lapor Daily Mail, Amaya menemukan suspek yang disyaki membunuh anak perempuannya, Lynda Michelle Amaya yang ketika itu berusia 15 tahun pada Disember 2020.
Pejabat Peguam Negara Colombia kelmarin mengumumkan seramai tiga lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan.
Sehingga kini, pihak berkuasa Colombia tidak mendedahkan motif pembunuhan Lynda, sama ada dia memang menjadi sasaran atau dibunuh secara tidak sengaja.
Selain itu, Amaya mempunyai tiga orang anak lagi iaitu sepasang kembar berusia 13 tahun dan anak lelaki umur empat tahun.
Amaya membuat keputusan untuk membantu polis Colombia menjejaki suspek pembunuhan anaknya pada 3 Disember lalu.
“Antara perubahan penampilan yang saya lakukan termasuk ‘membiarkan diri saya berbau busuk’, menconteng muka dengan arang dan memasuki ‘sarang gelandangan’ bagi memberitahu mereka mengenai kehadiran saya.
“Saya akan pergi ke tempat gelandangan di mana mayat anak perempuan saya ditemukan pada setiap malam. Saya dapat rasakan ‘kehadiran’ Lynda di sana,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh pejabat Peguam Negara Colombia, Lynda melakukan aktiviti berbasikal pada 17 November sebelum telefonnya dicuri.
Remaja itu kemudiannya pulang ke rumah dan pada 30 November, dia memberitahu ibunya bahawa dia ingin pergi ke sebuah tempat yang menjual kebanyakan telefon curi.
Tarikh itu merupakan hari terakhir Lynda bertemu dengan ibunya sebelum mayatnya ditemukan keesokan hari di dalam bangunan kosong yang dijadikan rumah untuk gelandangan.
Hasil bedah siasat mendapati Lynda dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg hitam dan dipindahkan ke bangunan kosong tersebut.
Selain itu, terdapat juga sumber memaklumkan ketua mafia tempatan yang dikenali sebagai Tazmania yang mengarahkan agar Lynda diculik bagi menuntut wang tebusan dari keluarganya.
Seorang daripada ahli keluarga Amaya menyatakan ahli kumpulan Tazmania ada menghubungi mereka untuk meminta wang tebusan jika mahu Lynda dibebaskan sebelum gadis itu dibunuh.
Sementara itu, Amaya mengetahui mengenai berita penemuan mayat seorang remaja perempuan di sebuah bangunan terbiar di San Bernado menerusi laporan media tempatan.
Wanita itu kemudiannya pergi ke rumah mayat berhampiran untuk memastikan jika mayat tersebut adalah anaknya, namun Amaya hampa apabila dia dimaklumkan mayat itu bukan anaknya.
Malah, pegawai perubatan tidak pernah meminta sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kerana mereka menegaskan mangsa berusia antara 19 dan 23 tahun, manakala Lynda berumur 15 tahun.
Amaya dan keluarganya dengan bantuan rakan memulakan operasi mencari sendiri di mana Lynda sehingga 1 Januari lalu dia dimaklumkan bahawa mayat anak gadisnya berada di sebuah rumah mayat di sini.