WASHINGTON: Wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump dilaporkan ‘hilang’ selepas insiden rusuhan di bangunan Capitol, baru-baru ini.
Lapor Mirror, Melania juga dikatakan tidak muncul di khalayak ramai sejak 1 Januari lalu.
Menurut laporan itu, wanita pertama White House itu berdiam diri sejak kejadian penyokong Presiden Donald Trump menyerbu bangunan Capitol pada 6 Januari lalu sehingga menyebabkan lima orang meninggal dunia termasuk seorang anggota polis.
Malah, status terakhir yang dimuat naik oleh Melania di laman media sosial adalah pada 1 Januari lalu yang antara lain menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat.
“Semoga 2021 dipenuhi dengan berkat kegembiraan, kesihatan yang baik dan keamanan sepanjang tahun!,” kata Melania dalam satu ciapan.
Jelas laporan itu, Melania juga tidak kelihatan menerusi pendedahan satu rakaman video yang memaparkan beberapa ahli keluarga Trump berkumpul ketika penunjuk perasaan berhimpun sebelum merusuh.
Kehilangan isteri Trump itu terus menjadi tanda tanya rata-rata warganet di laman media sosial.
Seorang pengguna media sosial mempersoal keberadaan Melania yang sehingga kini masih hilang tanpa sebarang berita.
“Sudah hilang lebih kurang seminggu, di manakah Melania?,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Kali terakhir Melania dilihat di khalayak ramai adalah pada malam Tahun Baharu selepas beliau pulang dari Florida ke White House dengan menaiki helikopter.