Masih alami gejala Covid-19 selepas enam bulan pulih - Utusan Malaysia

Masih alami gejala Covid-19 selepas enam bulan pulih

KEBANYAKAN pesakit Covid-19 yang sudah sembuh akan alami sekurang-kurangnya satu gejala virus tersebut dalam tempoh enam bulan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Satu kajian mendapati lebih tiga per empat penduduk yang dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti Covid-19 masih mengalami sekurang-kurangnya satu gejalanya selepas enam bulan.

Kajian itu yang disiarkan dalam jurnal perubatan, Lancet membabitkan ratusan pesakit di Wuhan, China, lokasi pertama Covid-19 dikesan.

Kajian itu mendapati keletihan atau otot yang lemah adalah gejala yang paling biasa dialami, manakala ada juga yang melaporkan kesukaran untuk tidur.

Menurut para saintis, kajian itu menunjukkan keperluan untuk menjalankan penyelidikan lanjut terhadap kesan berpanjangan penyakit Covid-19 tersebut.

“Oleh kerana Covid-19 merupakan penyakit baharu, kami baru mula memahami beberapa kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan pesakit,” kata penulis utama kajian, Bin Cao dari Pusat Perubatan Pernafasan Kebangsaan.

Jelas profesor, kajian itu menekankan keperluan rawatan berterusan bagi pesakit Covid-19 selepas dibenarkan keluar dari hospital terutamanya mereka yang mengalami jangkitan teruk.

Kajian terbaharu itu membabitkan 1,733 pesakit Covid-19 yang keluar dari Hospital Jinyintan di Wuhan antara Januari hingga Mei tahun lalu.

Pesakit berkenaan, yang purata umur 57 tahun, dilawat antara Jun hingga September dan memberi respon terhadap soalan mengenai gejala dan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan.

Para penyelidik juga menjalankan pemeriksaan fizikal dan ujian makmal.

Hasil kajian mendapati sebanyak 76 peratus pesakit yang terlibat dalam pemeriksaan susulan (1,265 orang daripada 1,655) memaklumkan masih mengalami gejala.

Sebanyak 63 peratus pesakit mengadu keletihan atau otot yang lemah manakala 26 peratus mengalami masalah tidur.

Kajian itu juga meneliti 94 pesakit yang tahap antibodi darah mereka direkodkan ketika puncak jangkitan sebahagian daripada saringan ujian lain.

Menurut kajian tersebut, apabila pesakit berkenaan menjalani saringan ujian semula selepas enam bulan, tahap antibodi peneutralan mereka sebanyak 52.5 peratus lebih rendah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya