LONDON: Seorang profesor dari Harvard yang mendakwa makhluk asing pernah datang ke bumi pada 2017, memberi amaran lebih banyak lagi mahkluk itu akan muncul.
Lapor New York Post, Ketua Jabatan Astronomi Harvard, Avi Loeb percaya dia sudah menemui beberapa bahan berkaitan makhluk tersebut.
Dalam buku terbaharu berjudul `Extraterrestrial: The First Sign of Intelligent Life Beyond Earth’, profesor itu mendakwa sebuah objek yang muncul di sistem suria bukannya batu namun sebenarnya merupakan teknologi makhluk asing.
Objek dikatakan itu didakwa bergerak menuju ke sistem suria dari arah Vega iaitu bintang berhampiran dengan 25 tahun cahaya, dan memintas kawasan orbit sistem itu pada 6 September 2017.
Jelas Loeb dalam bukunya, pada 9 September, trajektori objek itu membawanya berhampiran dengan matahari.
“Pada akhir September, ia bergerak pada kelajuan kira-kira 94790.36 kilometer (km) sejam melepasi jarak orbit Venus, dan kemudian pada 7 Oktober pula melalui bumi sebelum bergerak pantas ke arah buruj Pengasus dan di sebelah sana,” menurut buku itu.
Objek itu pertama kali dikesan oleh sebuah pusat pemantau di Hawaii yang mempunyai kelengkapan teleskop yang canggih iaitu Teleskop Kajian Panoramik dan Sistem Respons Pantas (Pan-STARRS).
Objek angkasa lepas itu juga digelar sebagai ‘Oumuamua’.
Tiada gambar jelas diambil namun para ahli astronomi mengkaji objek itu selama 11 hari dan berjaya mengumpulkan beberapa data lain.
Tambah Loeb, pada mulanya, saintis berpandangan objek itu merupakan komet biasa namun selepas menelitinya beliau menganggapnya sebagai sesuatu bahan teknologi dari makhluk asing.
Kata beliau, beberapa sifat luar biasa berkaitan objek itu yang membantunya untuk membuat kesimpulan berkenaan antaranya rupa bentuk Oumuamua.